KUALA LUMPUR, 17 Mei — Parti BERJASA mengecam tindakan kerajaan sebelum ini yang menyahsenaraikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952, sambil menyifatkannya sebagai keputusan gagal yang mengancam kesihatan awam dan masa depan generasi muda.
Ketua Penerangan BERJASA, Hamdan Sharif berkata, keputusan yang dibuat pada tahun 2023 itu telah membuka ruang besar kepada normalisasi budaya vape serta peningkatan ketagihan nikotin dalam kalangan anak muda.
Menurut beliau, alasan kerajaan untuk mengawal industri dan memungut cukai tidak wajar dijadikan alasan melonggarkan kawalan nikotin.
“Negara tidak boleh menggadaikan kesihatan generasi muda demi hasil cukai dan kepentingan industri,” katanya.
Lambakan vape semakin membimbangkan
Hamdan berkata, kesan keputusan itu semakin ketara apabila vape dijual secara terbuka dan penggunaannya meningkat dalam kalangan pelajar serta remaja.
Beliau turut mendakwa budaya merokok moden kini semakin dinormalisasikan sehingga penguatkuasaan terhadap produk vape menjadi semakin longgar.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kerajaan ketika itu seolah-olah memberi gambaran bahawa vape bukan lagi ancaman serius kepada kesihatan awam,” katanya.
Menurut beliau, tindakan menyahsenaraikan nikotin daripada Akta Racun merupakan antara kesilapan dasar kesihatan awam terbesar dalam sejarah negara.
“Ia bercanggah dengan semangat perlindungan kesihatan rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat ketika isu kawalan vape kembali menjadi perhatian selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilaporkan memutuskan penyahsenaraian cecair nikotin pada 2023 sebagai tidak sah.
Desak kerajaan kaji semula keputusan
Dalam pada itu, Hamdan mendesak kerajaan supaya segera mengkaji semula keputusan penyahsenaraian cecair nikotin dan membatalkannya.
Beliau turut menggesa kawalan serta penguatkuasaan terhadap produk vape dan rokok elektronik diperketatkan bagi membendung peningkatan penggunaannya dalam negara.
Selain itu, BERJASA mahu kerajaan mengembalikan RUU GEG bagi menyekat penjualan vape kepada generasi muda.
Hamdan turut menuntut kerajaan mendedahkan secara telus kesan sebenar keputusan tersebut terhadap peningkatan penggunaan vape di negara ini.
“Kesihatan rakyat bukan barang dagangan. Pemimpin yang bertanggungjawab wajib meletakkan masa depan generasi muda mengatasi keuntungan industri dan kutipan cukai,” katanya.