URA: Adakah Malaysia Sudah Bersedia?

ura malaysia

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan kepada pihak media bulan yang lepas bahawa Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (URA) kini sedang berada di peringkat akhir untuk dilaksanakan di Malaysia dan draf akhirnya telah pun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk proses semakan akhir dari segi perundangan.

Jika ia telah berjaya disahkan, RUU ini akan dibentangkan di Parlimen pada Julai 2025 iaitu bulan ini untuk bacaan kali pertama, kedua dan ketiga.

Tambah beliau lagi, kementeriannya telah menjalankan beberapa siri sesi penglibatan luar biasa termasuk 79 sesi seperti dilaporkan oleh Business News dan NST.

Dalam sumber yang lain pula, The Edge melaporkan jumlah keseluruhan keterlibatan telah meningkat kepada 101 sesi yang dianggap rekod tertinggi melibatkan pelbagai pemegang taruh iaitu pembeli rumah, pemaju rumah, NGO, ahli akademik, wakil rakyat dan parti politik.

Antara projek yang akan dilaksanakan oleh URA ialah Flat Sutera Taman Desa Bakti Selayang, Flat Kuchai Jaya, 1 Razak Mansion dan Residensi Kerinchi.

Projek-projek ini akan dibuat pembangunan semula oleh pemaju JL99 Group dengan adanya persetujuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Apa Itu URA?

URA yang ingin dilaksanakan di Malaysia ini didapati mengambil idea daripada Singapura yang sudah pun menjalankan dasar yang sama.

Ia merupakan satu undang-undang baharu yang bertujuan untuk menaik taraf, membaik pulih atau tidak selamat seperti flat-flat lama, bangunan rosak atau kawasan setinggan agar menjadi kawasan perumahan dan komersial yang lebih moden dan selesa.

Berbeza dengan Akta Hakmilik Strata 1985 yang memerlukan persetujuan 100% pemilik tanah untuk pembangunan semula, URA memperkenalkan ambang persetujuan majoriti iaitu pembangunan semula boleh diteruskan walaupun tidak semua pemilik bersetuju.

Ambang persetuju yang dicadangkan di dalam RUU URA ini ialah 80% persetujuan untuk usia bangunan di bawah 30 tahun, 75% untuk usia bangunan lebih 30 tahun dan 51% untuk bangunan yang terbiar atau tidak selamat.

Kadar peratusan yang rendah untuk mendapatkan persetujuan ini menimbulkan kebimbangan bahawa pemilik rumah akan terpaksa berpindah jika sebahagiannya tidak bersetuju dengan cadangan pemindahan.

Besar kemungkinan wujud mereka akan diusir secara paksa dan tiada jaminan mereka akan mendapat kembali rumah yang pernah mereka tinggal itu.

Adakah Ada Jaminan Pemindahan Ketika URA Dilaksanakan?

Setakat kenyataan rasmi yang diketahui hingga Julai 2025, Nga Kor Ming belum mengumumkan secara terperinci lokasi pemindahan sementara bagi penduduk yang terlibat dalam projek URA.

Namun, beliau ada memberi beberapa jaminan umum mengenai proses pemindahan dan kebajikan penduduk semasa projek ini dijalankan.

Dalam projek perintis di keempat-empat lokasi itu, penduduk yang terlibat telah diberikan pampasan tunai, bantuan sewa sementara dan janji unit baharu selepas pembangunan siap.

Tambah beliau lagi, pemilik asal akan diberi keutamaan untuk membeli atau menerima unit baharu bergantung pada model pembangunan sama ada pampasan tunai atau pertukaran unit.

Di sisi yang lain pula, beliau tidak memaklumkan secara rasmi berapa lama tempoh pemindahan untuk menunggu projek itu siap.

Apa Yang Membimbangkan?

Kerajaan hingga kini masih belum memperincikan secara rasmi sama ada pemilik asal perlu membeli semula unit baharu atau akan diberi secara pecuma/gantian penuh.

Ada dua model kemungkinan yang akan digunakan di dalam URA ini iaitu model gantian unit tanpa bayaran semula. Hal ini bermakna pemilik asal diberi unit baharu secara percuma sebagai pertukaran unit lama dan model ini mesra rakyat, sesuai untuk golongan B40 yang majoritinya penghuni di rumah flat.

Model kedua ialah model pampasan tunai ataupun pilihan beli semula. Pemilik asal diberikan pampasan tunai berdasarkan nilai semasa unit lama dan jika pemilik itu ingin mendapatkan unit baharu, pemilik mesti membayar semula.

Merisaukan jika hal ini menyebabkan sesetengah pemilik tidak mampu membeli semula unit baru tersebut jika saiz rumah tersebut lebih besar dan spesifikasinya lebih moden.

Hal ini berisiko kepada golongan berpendapatan rendah iaitu orang Melayu yang miskin bandar untuk menginap semula di rumah tersebut.

Nga Kor Ming dalam kenyataannya pada NST mengatakan bahawa:

The government will ensure fairness by prioritising the interests of original owners, especially from lower-income groups… with appropriate compensation or replacement units.”

Kenyataan ini tidak menunjukkan secara terang sama ada semua pemilik asal akan mendapat rumah baru secara percuma atau tidak.

Jika proses pemindahan hak milik itu memerlukan pembayaran, pemilik yang kurang berkemampuan terutamanya orang Melayu akan terpaksa berpindah ke kawasan lain.

Keadaan ini akan menampakkan seakan-akan berlakunya tindakan menghalau secara besar-besaran orang Melayu di kawasan bandar kemudian rumah tersebut akan dibuka kepada orang luar.

Sama ada proses pemindahan hak milik ini akan diberikan secara percuma atau tidak, sewajarnya rakyat Malaysia menunggu pembentangan RUU URA ini di Parlimen pada bulan ini.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
insurans kesihatan kwsp

Bayar Insurans Kesihatan Dengan Akaun 2 KWSP Bakal Jejaskan Simpanan Persaraan Orang Melayu?

Next Post
umno dan dap

Kerjasama UMNO Dan DAP: Politik Baru, Risiko Lama

Related Posts