AYER KEROH: Peranan ibu bapa sebagai guru kepada keluarga merupakan asas utama pembentukan insan hebat yang berpotensi memberi sumbangan kepada agama, masyarakat dan negara. Kenyataan ini disampaikan oleh Datin Asmahan Zaidon ketika sesi syarahan ‘Suara Wanita Wibawa’ sempena pelancaran Kesepakatan Wanita Tanah Air (KITA), di sini kelmarin.
Datin Asmahan Zaidon, yang juga merupakan Bendahari Wanita BERJASA menekankan peri pentingnya kewajipan seorang ibu yang boleh melahirkan generasi hebat seperti Muhammad Al Fateh dan Rahmah Al Yunussiah dengan bermulanya pendidikan sejak anak-anak di usia kecil lagi. Intipati pendidikan yang kerap kali ditekankan sejak dari kecil mampu melahirkan generasi yang mempunyai visi dan misi sendiri.
“Rahmah Al Yunussiah dibesarkan dengan baik oleh ibu ayahnya. Ini terbukti apabila beliau menubuhkan sebuah madrasah untuk wanita ketika usia 23 tahun. Madrasah Diniyah Puteri yang ditubuhkan akhirnya berjaya membangkitkan kesedaran dan melahirkan anak-anak perempuan dari buta huruf kepada terpelajar dan berkemahiran. Beliau juga memperoleh anugerah sheikhah dari Universiti Al Azhar atas sumbangannya yang besar dalam pendidikan”, ujarnya.
Beliau juga berpandangan kisah Muhammad A-Fateh juga sebagai satu contoh didikan keluarga yang berjaya. Hal ini kerana besarnya visi dan misi ayah serta ibunya dari awal untuk menjadikan anak mereka sebagai bakal penakluk Konstantinopel. Ibunya telah membawa beliau melihat kota itu sambil menanam keyakinan akan puteranya bakal menakluki benteng tersebut. 
“Hasil didikan ibu bapa dan ulama’ ketika itu, Muhammad Al-Fateh akhirnya membenarkan apa yang dahulunya telah tertulis dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpin. Muhammad Al Fateh bukan hanya menakluk kota, namun juga berjaya memperluas wilayah Islam ketika itu demi membebaskan umat Islam yang tertindas di Andalus”, tegasnya. 
Kedua-dua contoh ini akhirnya menjadi bukti bahawa pendidikan awal terhadap anak-anak memberi manfaat jangka masa panjang buat generasi yang ingin dibentuk. Datin Asmahan Zaidon menyeru semua berusaha melaksanakan kewajipan kita sebagai guru keluarga yang akhirnya boleh menyumbang baik dalam kemenjadian dan pembentukan akhlak serta jati diri anak-anak.