Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dilangsungkan di Kuala Lumpur selaku tuan rumah dicacatkan dengan kesilapan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang salah sebut nama Presiden Indionesia dan pimpinan ASEAN lain.
Kesilapan itu bukan setakat menyebut nama Presiden Indonesia yang berbeza namun turut berlaku terhadap Perdana Menteri Singapura dan Perdana Menteri Thailand.
RTM telah tersilap menyebut nama Presiden Indonesia dengan nama Joko Widodo sedangkan Presiden Indonesia yang terkini ialah Prabowo Subianto.
Bukan itu sahaja malahan nama Perdana Menteri Singapura disebut dengan nama Lee Hsien Loong sedangkan Perdana Menteri yang terkini bernama Lawrence Wong.
Untuk Thailand pula, RTM menyebut nama Sreetha Thavisin yang telah turun jawatan setahun lalu sedangkan Perdana Menteri Thailand yang terkini ialah Anutin Charnvirakul.
Sebagai sebuah agensi penyiaran rasmi milik kerajaan, kesilapan ini adalah suatu yang memalukan kerana menampakkan kurang bersedianya RTM untuk acara yang terbesar dalam rantau Asia Tenggara ini.
Kesilapan ini dikhuatiri boleh memberikan imej yang kurang baik kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara berikut memandangkan tokoh-tokoh tersebut hadir ke Kuala Lumpur selaku ketua negara masing-masing.
Kesilapan Salah Sebut Nama Tidak Wajar Berlaku
RTM merupakan agensi penyiaran milik kerajaan yang sudah lama membuat liputan untuk upacara bertaraf serantau dan antarabangsa maka kesilapan sebegini tidak wajar berlaku.
Memandangkan RTM turut dikenali sebagai lidah rasmi kerajaan dalam konteks media dan penyiaran, kesilapan ini dikhuatiri boleh menjejaskan imej Malaysia di mata negara lain.
Negara luar akan melihat Malaysia mengambil begitu mudah soal persediaan untuk acara terbesar ini sehingga kurang cakna dengan nama pimpinan negara jiran.
Setakat artikel ini ditulis, media Singapura dan Indonesia seperti CNA dan Kompas telah membuat liputan berita yang melaporkan media rasmi Malaysia membuat kesilapan menyebut nama pemimpin negara mereka.
Sudah pastinya reaksi yang kecewa akan diberikan oleh rakyat Indonesia dan Singapura di atas kecuaian media rasmi Malaysia ini.
Menteri Komunikasi Wajar Bertanggungjawab, Bersihkan Imej Kerajaan
RTM merupakan agensi penyiaran yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan beroperasi sebagai jabatan kerajaan, bukannya syarikat swasta atau separa kerajaan dan dibiayai melalui peruntukan bajet tahunan kerajaan.
Fungsi utama RTM ialah menyampaikan maklumat dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat, menjadi saluran komunikasi rasmi antara kerajaan dan masyarakat, menyebarkan berita sahih dan beretika untuk memastikan kestabilan sosial serta perpaduan nasional dan menjalankan tugas penyiaran awam.
Pernyataan di atas sudah menggambarkan secara menyeluruh bahawa imej RTM lebih dikenali sebagai agensi penyiaran mahupun berita yang menyampaikan berita yang sahih dan tepat.
Maka apabila kesilapan sebegini berlaku, begitu besar sebenarnya kesan kepada kerajaan Malaysia.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil perlu mengambil tindakan yang pantas untuk menyiasat punca kepada berlakunya kesilapan begini.
Rakyat Malaysia khuatir jika kesilapan yang sama berlaku jika tiada tindakan pemutihan dilakukan oleh kerajaan untuk memulihkan kembali imej kerajaan.