Perkasakan BM Di Malaysia Dulu Sebelum Diantarabangsakan – Ir Ts Lukman Al Hakim

Ir Lukman Al Hakim Naib Presiden

Bangi – Aspirasi Malaysia untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di Asia Tenggara wajar dirai dan disambut baik oleh semua pihak.

Bagaimanapun, inisiatif dan usaha itu juga perlu diselaras di dalam negara dengan memastikan bahasa Melayu turut diperkasa bertepatan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berpendapat, bahawa kerajaan sepatutnya terus melipatgandakan usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, sebelum ia dimartabatkan ke peringkat antarabangsa.

Ini kerana, katanya, sehingga ke tahun 2022, masih terdapat warganegara Malaysia yang tidak boleh bertutur walaupun sepatah dalam bahasa Melayu.

“Ini realiti walaupun mungkin peratusannya rendah, tetapi ia merupakan satu ‘wake-up’ call dan perkara yang perlu dilihat secara serius apa yang telah berlaku kepada Perlembagaan kita atau Akta Bahasa Kebangsaan ini.

“Adakah ia benar-benar dilaksanakan atau sekadar duduk di atas kertas selama bertahun-tahun sejak kita merdeka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, isu bahasa semestinya berkait rapat dengan peranan pendidikan, media dan komunikasi dalam aspek memperkasa serta membudayakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Muhammad Lukman berkata, Kementerian Pendidikan misalnya harus memberikan fokus melihat kelompongan dan ruang kelemahan yang menyebabkan ada dalam kalangan anak muda kini gagal berbahasa Melayu dengan baik.

“Begitu juga dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kita membawa masuk pelbagai rancangan, inisiatif dan juga program-program luar yang tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu.

“Jadi, bagaimana kita katakan bahawa kerajaan mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di Asia Tenggara, walhal kita sendiri tidak memainkan peranan dalam tanah air sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan keperluan sistem pendidikan negara melihat kembali sama ada sekolah vernakular relevan atau tidak dalam konteks memperkasakan bahasa kebangsaan.

“Sejauh mana pembelajaran bahasa Melayu itu diberikan fokus, sejauh mana pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu dijadikan agenda besar sekolah vernakular.

“Ini harus kita pantau, kaji dan uji untuk memastikan tidak berlaku senario ada di kalangan warganegara Malaysia yang gagal berkomunikasi dan berinteraksi dalam bahasa Melayu dengan baik.

“Kita perlu tengok betul-betul dan pastikan kita bermula dengan negara kita sendiri sebelum kita mengantarabangsakan bahasa kebangsaan ini,” katanya.

Sumber – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ketua Pemuda BERJASA Fahmi Bazlan

BERJASA Gesa Tubuh ‘Task Force’ Tangani Banjir – Fahmi Bazlan

Next Post
Azrul Azham BERJASA

Ketidaksungguhan Kerajaan Punca Kenaikan Harga Barang, Sampai Bila Bergantung Bekalan Import? – Azrul Azham

Related Posts