BANGI – Tular satu kandungan berbentuk muka surat daripada sebuah novel karya tempatan yang laris penjualannya di kalangan pelajar sekolah bertajuk “Lelaki Astatine” yang kini mengundang kontroversi dan menjadi buah mulut orang ramai. Hal ini kerana, beberapa muka surat dari kandungan novel tersebut didapati mempunyai elemen-elemen yang jelas menunjukkan ‘soft porn’ yang sangat halus tetapi besar mudaratnya kepada pembaca-pembacanya.
Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Rajiain berkata perkara ini dibongkar dan didedahkan oleh aktivis bagi pendidikan seksualiti dan kekeluargaan yakni Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang mendapati normalisasi kelucahan sudah sedia berakar umbi dalam masyarakat hingga hilang rasa sensitiviti untuk menghasilkan karya-karya sebegini.
Buktinya, respon tentang buku ini yang diperoleh beliau rata-rata melahirkan kegusaran dengan catatan adegan-adegan di dalam novel yang tidak sopan serta dibaca oleh golongan remaja dan anak-anak muda sekarang.
Selain itu, menerusi pembongkaran tersebut, timbul lagi pendedahan dari orang ramai tentang berbagai jenis lagi buku-buku novel yang ‘menawarkan’ mesej-mesej ‘soft porn’ ini dan menjadi sesuatu yang laris dan ‘dicari’ oleh anak-anak.
“Sepertinya, dunia penerbitan di Malaysia ini masih belum cukup ‘selamat’ untuk disebarluaskan dan dimanfaatkan kerana masih lagi ada ‘keringanan’ untuk melayani permintaan masyarakat yang menormalisasikan babak-babak sedemikian hatta di kaca mata televisyen”.
“Saya berpandangan pihak berkuasa hatta masyarakat perlu lebih peka dan celik serta berhati-hati dengan kandungan seperti ini bahkan memahami risiko-risiko penerbitan yang boleh ‘meracuni’ pemikiran anak muda kita serta menjadikan budaya orang Melayu berpaling jauh dari yang asal akibat dinormalisasikan dengan dialog-dialog yang ‘memalukan’ dan ‘hina’ ditulis di dalam bahan bacaan anak muda”, tegas beliau.
Tambah beliau, beliau juga menyeru penerbitan buku-buku seperti ini perlu dikawal dan dipantau secara meluas oleh Kementerian Dalam Negeri, terutamanya keberadaan stok buku ini di kedai-kedai fizikal atau maya, akses jualan kepada mereka yang di bawah umur malah tindakan awal dari pihak berkuasa adalah dengan mengamalkan sistem tapisan yang lebih ketat dalam meluluskan penerbitan buku-buku novel dan bahan-bahan bacaan yang lain.
Terdahulu, penulis Ebook Pendidikan Seksualiti Kanak-kanak, Akhi Fairuz Al-Jengkawi selepas menerima mesej dari seorang wanita yang melahirkan kegusarannya tentang novel bertajuk “Lelaki Astatine” karya penulis novel terkenal, Anjell.
Novel “Lelaki Astatine” itu dikatakan dicetak 80 ribu naskhah untuk jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sebelum ini dan laris dijual, sedangkan ia mempunyai kandungan soft porn yang dicampur adukkan dengan ilmu kimia, bidang penerbitan dan Islamik.
Isu cetakan buku yang mencemar norma masyarakat Malaysia juga pernah berlaku sebelum ini yang mana penerbitan buku Gay Is Okay! A Christian Perspective dicetak dan dijual di Malaysia.