Bangi – BERJASA mendesak supaya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Idris Ahmad bertegas serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan akidah ketiga-tiga anak mualaf, Loh Siew Hong kekal terpelihara.
Gesaan itu disuarakan selepas Loh membuat permohonan membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan secara sepihak oleh bekas suami beliau.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Loh bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.
Peguam, A Srimurugan yang mewakili Loh berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.
Ibu tunggal itu memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.
Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.
Kesal dengan perkara itu, Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad mendakwa, seperti dijangka wujudnya individu dan gerakan yang mencuba ke arah memurtadkan anak-anak ini.
Sedangkan, pada awalnya keputusan Mahkamah Tinggi hanya membabitkan isu hak penjagaan dan tidak menyentuh berkaitan agama ketiga-tiga anak Loh, katanya.
“BERJASA mengikuti rapat fakta dan kronologi kes dan berpendapat bahawa anak-anak ini tidak menunjukkan sebarang unsur keterpaksaan dan amat gembira dengan agama Islam yang dianuti mereka.
“Malah mereka secara rela hati tetap mahu menunaikan kewajipan-kewajipan sebagai individu muslim walaupun setelah duduk bersama ibu mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, amat mengecewakan perkara ini tidak pernah mendapat perhatian mana-mana Ahli Parlimen untuk dibincangkan secara serius dalam Dewan Rakyat terutamanya bagi memastikan kelompongan dalam undang-undang sedia ada yang menjejaskan Islam sebagai agama Persekutan.
“Oleh yang demikian, BERJASA mendesak supaya pihak kerajaan terutamanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad untuk bertegas dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan akidah anak-anak ini terus tetap terpelihara,” katanya.
Sumber – Ismaweb