BAGAN DATUK – Kerajaan menegaskan mereka akan menutup operasi mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di negara ini jika didapati eggan patuh terhadap arahan memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan tegas itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
Beliau berkata, tindakan penutupan itu adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Tegas beliau juga, kerajaan tidak teragak-agak untuk menutup mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial yang tidak mematuhi undang-undang terbaharu yang ditetapkan oleh MCMC ini.
MCMC menerusi kenyataan semalam dilaporkan berkata, kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.
Katanya, kerangka kawal selia baru itu hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak membabitkan pengguna.
Penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan arahan MCMC itu kononnya bermotif politik bagi menyekat komen negatif daripada dilemparkan kepada kerajaan.
“Apa nak takut kalau media digunakan dengan menyatakan kebenaran dan memperkenalkan identiti (pemegang akaun) yang sebenar.
“Banyak negara tidak menggunakan saluran media sosial sekarang. China umpamanya tidak menggunakan saluran media yang sama dengan kita. Mereka ada cara sendiri untuk melawan.
“Singapura juga (mengenakan peraturan penyedia perkhidmatan media mesti) mendaftar. Banyak negara yang mendaftar supaya setiap netizen bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, bukan melempar tapi sembunyi tangan…itu namanya pengecut,” katanya.
SUMBER – Berita Harian