Semalam kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi adalah RM474.2 bilion bagi tempoh 2024 sehingga Mac 2025 dan tidak menyatakan pelaburan langsung asing (FDI) secara jelas.
Menurut MITI, ia merangkumi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dengan pelaburan ini melibatkan 9,238 projek dan menjana sejumlah 241,086 peluang pekerjaan.
Walaubagaimanapun, MITI hanya memberikan data daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan sahaja bukannya pelaburan yang benar-benar disahkan untuk berjalan di Malaysia.
Pelaburan yang telah diluluskan tidak semestinya menjadi pelaburan yang tetap dan boleh dibatalkan sebelum syarikat tersebut benar-benar melabur.
Hal ini kerana kelulusan pelaburan adalah suatu peringkat lebih awal atau izin prinsip yang membenarkan syarikat untuk melaksanakan pelaburan, tetapi pelaburan sebenar hanya terjadi apabila syarikat melaksanakan perbelanjaan modal atau operasi yang dijalankan.
Pelaburan tersebut boleh dibatalkan atau ditangguhkan sebelum ia direalisasikan atas sebab-sebab tertentu antaranya perubahan keadaan pasaran, masalah perniagaan atau faktor ekonomi.
Dalam konteks pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia, setelah mendapat kelulusan, syarikat perlu mematuhi syarat-syarat pelaburan termasuk penggunaan elaun cukai atau insentif yang berkaitan dan pelaksanaan pelaburan modal seperti pembinaan kilang, pembelian mesin dan lain-lain.
Jika syarikat yang ingin melabur tersebut didapati tidak melaksanakan pelaburan tersebut, elaun atau insentif tidak dapat dinikmati dan kelulusan tidak bermakna pelaburan telah dijalankan sepenuhnya.
Sepatutnya kerajaan menyatakan secara terus terang mengenai berapa nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang telah berjaya dibawa oleh Malaysia.
FDI ini lebih mencerminkan tentang nilai ekonomi Malaysia sama ada makin membaik ataupun redup.
Apa Itu Pelaburan Langsung Asing?
Pelaburan lansung asing (FDI) merujuk kepada pelaburan yang dibuat oleh individu, syarikat atau institusi kewangan asing dalam sesebuah negara dengan tujuan memiliki kepentingan yang berterusan dan pengaruh operasi dalam syarikat atau projek tersebut.
Definisi lebih tepatnya ialah FDI adalah pelaburan yang memberikan pemilikan asing lebih daripada 10% ekuiti sesebuah syarikat yang membolehkan pelabur asing mengawal dan mempengaruhi pengurusan serta operasi syarikat tersebut.
Melalui FDI, pelabur asing bukan sahaja membekalkan modal tetapi juga teknologi, kepakaran pengurusan dan akses je pasaran global.
FDI penting dalam pembangunan kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Bukan itu sahaja malahan ia turut membantu mempertingkat infrastruktur dan kemudahan industri, mempercepatkan aliran teknologi dan inovasi moden ke negara penerima serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung dalam sektor-sektor utama seperti perkilangan, teknologi dan perkhidmatan.
Nilai FDI yang tinggi merupakan satu petunjuk awal yang baik tentang daya tarikan sesebuah negara kepada pelabur asing dan potensi pertumbuhan.
Nilai FDI Yang Diperoleh Malaysia Lebih Rendah Berbanding Indonesia dan Vietnam
Hakikatnya nilai FDI yang berjaya dibawa oleh Malaysia adalah lebih rendah dibandingkan dengan negara jiran di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia dan Vietnam
Tolak ketepi soal pelaburan yang diluluskan itu kerana ia belum bertukar kepada wang pelaburan yang nyata untuk ekonomi Malaysia.
Pada suku pertama 2025, FDI yang masuk ke Malaysia menurun kepada RM15.57 bilion dari RM18.68 bilion pada suku sebelumnya.
Sepanjang tahun 2024, jumlah FDI bersih yang berjaya dibawa oleh Malaysia ialah sebanyak RM51.5 bilion.
Indonesia pula mencatakan jumlah FDI bersih untuk 2024 sebanyak RM240 trilion dan Vietnam pula adalah sebanyak RM116.6 bilion.
Hal ini menunjukkan nilai FDI Malaysia rendah dibandingkan dengan Indonesia dan Vietnam walaupun kerajaan menegaskan adanya peningkatan jika dibandingkan dengan nilai FDI pada 2023 iaitu sebanyak RM40.4 bilion.
Petanda ini sepatutnya menjadi “wake up call” kepada kerajaan untuk memastikan Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan utama untuk pelabur asing di rantau Asia Tenggara.
Amat mengkhuatirkan jika Malaysia terus ketinggalan dalam memperoleh FDI bersih dibandingkan dengan negara jiran lain dan akhirnya lebih teruk apabila Malaysia terus dipinggirkan oleh pelabur asing.
Rakyat menantikan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini rancak ke negara luar untuk mendapatkan pelaburan asing dengan menyebut adanya “potensi” pelaburan daripada negara-negara ini seperti Perancis dan Itali.