Lanjut Umur Persaraan: Bukan Soal Usia, Tetapi Strategi Populasi Negara

Cadangan oleh YB Datuk Seri Azalina Othman Said untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia. Ramai beranggapan bahawa langkah ini tidak bersesuaian dengan keperluan semasa. Namun, apa yang lebih penting daripada debat umur persaraan adalah persoalan pokok iaitu tentang strategi nasional dalam mengurus modal insan dan populasi negara yang sedang berubah secara dramatik.

Kita semua tidak menafikan bahawa Malaysia kini sedang menghadapi peralihan demografi. Peralihan demografi ini telah mengakibatkan penurunan kadar kesuburan dan peningkatan populasi warga emas. Purata kadar kesuburan kini sekitar 1.6 anak per wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi iaitu 2.1. Ini bermakna Malaysia sedang menuju ke arah status negara menua, dengan lebih 15% rakyat berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030 (atau mungkin lebih awal).

Kesan daripada perubahan demografi kepada lebih ramainya orang tua dalam populasi negara boleh menyebabkan penyusutan tenaga kerja aktif, beban ekonomi yang tinggi terhadap golongan muda yang semakin mengecil, dan risiko menurunnya produktiviti negara jika struktur sumber manusia tidak dioptimumkan.

Bukan Sekadar Umur Persaraan, Tetapi Pengupayaan Populasi

Melanjutkan umur persaraan tidak harus dilihat sebagai penyelesaian mudah terhadap masalah kekurangan tenaga kerja. Sebaliknya, kerajaan atau pembuat dasar perlu dilihat dalam konteks lebih besar. Oleh itu, persoalan-persoalan ini perlu dipertimbangkan dalam memastikan negara ini boleh terus kuat, maju dan berdaulat.

  1. Adakah kita sedang mengupayakan populasi negara sebagai modal insan yang berkualiti dengan memperkasakan setiap lapisan masyarakat?
  2. Bagaimana dengan peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya untuk generasi muda?
  3. Apakah bentuk strategi jangka panjang kita terhadap pembangunan sumber manusia di Malaysia?
  4. Adakah modal insan negara pada hari ini cukup untuk menguasai bidang-bidang penting negara pada masa akan datang?

Sungguhpun alasan utama lanjutan umur persaraan adalah ingin mengurangkan bebanan ekonomi persara atau ahli keluarga, ianya tetap perlu dilakukan dengan perancangan menyeluruh. Hal ini kerana dominasi warga kerja senior dalam organisasi boleh mengakibatkan (1) kurangnya inovasi di tempat kerja, (2) berlakunya kekangan kemajuan kerjaya kepada pekerja muda, dan (3) kelembapan dalam penyesuaian teknologi dan transformasi organisasi. Justeru, kerajaan perlu menggubal dasar-dasar yang menyokong keseimbangan antara keperluan ekonomi, peluang pekerjaan dan kehormatan sosial warga emas.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rumah Mahal: Untuk Siapa Sebenarnya?

Next Post

Rafizi Gagal Pertahankan Jawatan: Mana Janji Letak Jawatan?

Related Posts