Tindakan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengutuk tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang menebang pokok durian Musang King di Sungai Klau merupakan satu penghinaan terhadap kedaulatan tanah dan undang-undang negara.
Bagaimana mungkin mahasiswa — golongan terpelajar dan bakal pemimpin masa depan — boleh berdiri membela penceroboh tanah kerajaan? Adakah KMUM kini sudah menjadi suara yang memperjuangkan kepentingan kapitalis haram yang menceroboh tanah negeri selama bertahun-tahun tanpa sebarang kelulusan?
Isu di Raub bukan soal ‘kebajikan pekebun kecil’ seperti didendangkan, tetapi jelas melibatkan aktiviti penerokaan tanah tanpa hak, yang meraih keuntungan berjuta-juta tanpa membayar cukai atau mematuhi undang-undang tanah negeri. Maka tindakan kerajaan negeri untuk mengambil semula hak milik sah tanah adalah langkah memulihkan kedaulatan negeri, bukan kezaliman seperti digambarkan KMUM.
Mahasiswa sepatutnya memperjuangkan keluhuran perlembagaan, keadilan dan kedaulatan negara, bukannya menjadi jurucakap tidak rasmi kepada kelompok yang meraih keuntungan atas dasar pencerobohan. Jika hari ini mahasiswa boleh sokong peneroka haram, apa jaminan esok mereka tidak menyokong pelanggaran undang-undang yang lain atas nama ‘solidariti’?
Sudah tiba masa mahasiswa kembali berpijak di bumi nyata. Pencerobohan tanah adalah pelanggaran undang-undang, dan sesiapa yang mempertahankannya, sedang menormalisasikan pencabulan kedaulatan negara.
Admin Gelombang Berjasa