Kerajaan Bacul dan lemah, sanggup tunduk pada taikun vape

SHAH ALAM – Kerajaan dilihat bersikap begitu bacul dan pengecut apabila sanggup tunduk dengan tuntutan mahupun desakan daripada para taikun industri rokok dan vape dengan menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bijak dibuat oleh kerajaan apatahlagi melibatkan kesihatan rakyat awam.

Bukan itu sahaja malahan dalam respon yang berasingan juga Peguam Negara memaklumkan baahwa RUU GEG bertentangan dengan Perlembagaan negara. Timbul persoalan di sini iaitu mengapa Peguam Negara seakan terburu-buru mengeluarkan respon yang sedemikian sedangkan ia wajar diuruskan di bawah bidang kuasa mahkamah.

Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif dalam kenyataan media beliau pada pagi ini berkata tindakan kerajaan yang mengeluarkan cecair nikotin daripada Akta Racun akan memberikan kesan buruk kepada golongan kanak-kanak dan anak muda. Semestinya akses untuk mendapatkan rokok dan vape akan menjadi lebih bebas memandangkan ia boleh dijual secara terbuka.

“Tindakan kerajaan sekarang ini memperlihatkan kepada kita bahawa laungan reformasi yang dilaungkan sebelum ini hanya laungan kosong sahaja. Hakikatnya mereka langsung tidak mengambil berat soal kepentingan rakyat dan lebih mengutamakan para pelobi dan taikun industri rokok dan vape yang akan membawa kerosakan yang lebih besar kepada rakyat”.

“Harus diketahui bahawa ini akan menyebabkan kos perubatan akan meningkat sejajar dengan meningkatnya jumlah perokok yang setakat ini seramai 5 juta orang dan 1.2 juta adalah daripada kalangan remaja seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan di dalam sidang Parlimen baru-baru ini”, ulas beliau.

Beliau menyatakan kekesalan di atas tindakan kerajaan ini dan mendesak kerajaan agar menyemak semula RUU GEG tersebut kerana kesihatan rakyat lebih utama berbanding faktor ekonomi.

Beliau juga sempat menyoal tentang tindakan kerajaan yang dilihat begitu takut dengan desakan daripada para taikun industri rokok dan vape sehingga memaksa kerajaan menarik peruntukan RUU ini daripada terus dibahaskan di Parlimen.

Sebelum itu, peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari Selasa yang lalu.

Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan itu yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Di bawah RUU baharu yang dibentangkan hari ini, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Besarnya Peranan Wanita Dalam Membangun Generasi Harapan

Next Post

BERJASA Pahang Nyatakan Sokongan Terbuka Kepada Palestin

Related Posts