Kontroversi berkenaan sandwic ham di KK Mart berkenaan pelabelan “ham” dan tidak disahkan halal kerana meletakkan label halal palsu nyata jelas telah memanaskan golongan liberal yang agak alergik dengan orang Islam.
Hal ini dapat dilihat apabila golongan sebegini jelas tanpa segan silu mencipta persepsi yang salah, jenaka mahupun provokasi yang diada-adakan bahkan sepenuhnya lari dari konteks asal sehingga menjurus kepada hinaan terhadap agama.
Ketua Pemudi BERJASA, Azliza Rajiain membidas Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid daripada parti DAP yang menempelak pengkritik sebagai golongan yang mudah tercuit dengan isu kecil.
Malahan Syerleena menuduh golongan ini sengaja ingin memainkan isu perkauman hingga dijadikan sebagai alat politik.
Syerleena sepatutnya melihat isu ini sedalam-dalamnya dengan mengetahui akar dan punca kewujudan isu terbabit bukannya terus mengeluarkan kenyataan yang bersifat defensif.
Jelas tiada istilah eksploitasi isu kaum dan agama dalam hal ini kerana ahli politik DAP itu patut sedar bahawa agama Islam sudah sekian lama merupakan agama Persekutuan Malaysia maka ia patut dijunjung oleh semua pihak tidak kira ahli politik mahupun rakyat biasa.
Isu Sandwic Ham Bukan Isu Politik
Selain Syarleena, individu lain yang mengeluarkan kenyataan berupa sarkastik ialah Harith Iskander dengan memuat naik satu “posting” yang mengejek orang Islam yang begitu sensitif dengan isu ini.
Beliau memuat naik gambar menu kopi bernama Ham Sam Kopi yang dimiliki oleh jenama Cina dan mengatakan kopi ini tidak boleh diminum kerana mempunyai perkataan “ham”.
Jelas kenyataan daripada beliau ini bersifat sendaan dan ejekan kepada orang Islam yang mengkritik KK Mart atas penjualan sandwic ham.
Jika beliau faham dengan tetapan yang diletakkan oleh agama Islam dalam soal pengambilan makanan, isu ini tidak akan menjurus kepada hinaan daripada beliau kerana mencari halal adalah sesuatu yang wajib dan fardhu.
Mereka sepatutnya bersikap adil dalam menilai sesuatu isu yang wujud kerana mereka juga yang meraikan soal kebeban bersuara.
Janganlah apabila isu itu tidak memihak kepada mereka maka pantas dikritik sebagai isu politik dan sengaja mahu memainkan sentimen agama.