Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 akan diadakan di Vientiane, Laos dari 6 hingga 11 Oktober 2024 dan semestinya isu melibatkan pertikaian Laut China Selatan akan dibangkitkan dalam kalangan negara anggota yang hadir nanti.
Fokus utama persidangan kali ini adalah memperkukuh hubungan infrastruktur, mengurangkan jurang pembangunan, meningkatkan integrasi ekonomi dan mempererat hubungan rakyat ASEAN dengan negara luar.
Sidang ini juga akan membincangkan isu-isu utama termasuk transformasi digital, kelestarian serta kerjasama ekonomi di bawah ASEAN Blueprint 2025 dan penyediaan Rancangan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026-2030.
Namun demikian, negara-negara ASEAN pasti akan membawa isu keselamatan yang sering menghantui rantau mereka antaranya krisis etnik di Myanmar dan isu Laut China Selatan.
Kedua-dua isu ini telah memerangkap ASEAN yang beraspirasi untuk menjadi rantau yang harmoni dan selamat.
ASEAN Perlu Bersatu Padu Dalam Isu Laut China Selatan
Negara-negara ASEAN perlu menggunakan Sidang Kemuncak ASEAN di Laos ini sebagai peluang untuk menyatakan kesepakatan mereka dalam mempertahankan Laut China Selatan daripada terjun ke lembah krisis.
Sesuatu yang bukan disembunyikan apabila negara-negara ASEAN saling berpecah apabila isu membabitkan pertikaian Laut China Selatan dibangkitkan secara bersama.
Kemboja dan Laos merupakan dua buah negara anggota ASEAN yang lantang membela tindakan China masuk menceroboh sempadan negara jirannya di Laut China Selatan.
Hal ini disebabkan oleh kedua-dua buah negara ini menerima limpahan ekonomi yang besar daripada China melibatkan projek infrastruktur.
Keadaan ini menyebabkan ASEAN sukar untuk mencapai kata sepakat dalam melindungi Laut China Selatan daripada pencerobohan luar.
ASEAN sebenarnya hanya perlu berusaha mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) yang mengikat secara sah.
Ini adalah penting untuk memastikan negara-negara yang terlibat terutamanya China menghormati peraturan yang disepakati dan mengelakkan sebarang tindakan provokasi di kawasan tersebut.
Walaupun di atas kertas ia kelihatan sukar namun perkara ini tidak mustahil untuk dilakukan jika negara-negara ASEAN bersatu padu dalam isu ini.
Kedatangan China ke Laut China Selatan secara semberono nyata menimbulkan kekacauan di Asia Tenggara seterusnya dikhuatiri melambatkan sasaran ASEAN untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau berpendapatan tinggi menjelang tahun 2035.