BANGI – Tiada hujah yang kukuh untuk mengatakan Iran sebagai penyelamat ataupun wira dalam isu perjuangan membebaskan Palestin. Mengangkat Iran secara berlebih-lebihan sebagai pejuang Palestin seakan-akan ingin melupakan Hamas yang sebelum ini begitu setia dalam memperjuangkan pembebasan Palestin.
Demikian tegas Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim dalam mengulas mengenai serangan Iran terhadap Israel yang berlaku baru-baru ini. Beliau terpanggil untuk mengulas isu ini setelah melihat begitu ramai pihak khususnya di Malaysia begitu mengangkat Iran setelah berlakunya serangan tersebut kononnya Iran lebih berani menentang Israel berbanding negara Islam yang lain.
“Semua pihak perlu tahu bahawa serangan Iran terhadap Israel baru-baru ini sebenarnya sebagai tindak balas daripada serangan Israel ke atas pejabat konsulat Iran di Damsyik, Syria. Maka setelah 184 hari Palestin dibantai dengan teruk oleh Israel baru Iran mula menyerang Israel itu pun setelah mereka diserang terlebih dahulu”.
“Jadi saya tidak melihat di mana hujah yang tepat untuk mengatakan Iran ini sebagai wira yang perlu diangkat dalam isu Palestin. Mereka menyerang Israel atas dasar ingin melindungi kepentingan nasional mereka sahaja bukannya membebaskan Palestin secara terus. Sedangkan serangan itu hanya mengambil masa sehari sahaja”, tegas beliau.
Beliau juga mengingatkan ramai pihak bahawa siapa Iran yang sebenarnya. Iran yang sekian lama dikenali setelah berlakunya Revolusi Iran adalah sebuah negara Syiah yang mempunyai cita-cita untuk membina sebuah negara Syiah Raya ataupun ‘Hilal Shi’i’. Syiah Raya buat masa sekarang meliputi Iraq, Syria dan selatan Lubnan.
Tambah beliau lagi, serangan Iran terhadap Israel sebenarnya hanya menguntungkan kedua-dua pihak sahaja dan tanpa melibatkan kepentingan terhadap Palestin sekalipun.
“Serangan Iran terhadap Israel sebenarnya memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak. Israel mendapat tambahan bantuan bajet ketenteraan setelah Kongres meluluskan bajet tambahan untuk aset ketenteraan Israel dan Israel dapat menggunakan bajet tambahan yang bernilai berbillion dolar ini untuk membantai Palestin pada bila-bila masa sahaja”.
“Iran pula mendapat kelebihan hasil serangan ini dengan negara-negara Islam memberikan simpati kepada mereka setelah melihat ‘keberanian’ mereka menyerang Israel. Maka propaganda Iran di mata negara Islam telah berjaya dan dakyah Syiah Raya mereka akan mudah tersebar kepada negara Islam lain”.
“Rakyat Malaysia harus sedar bahawa kini sudah ada 30 ribu orang Melayu yang menganut ajaran Syiah dan kita khuatir simpati yang diberikan kepada Iran akan memudahkan lagi dakyah penyebaran ajaran Syiah di Malaysia. Buktinya sudah berlaku lama dahulu apabila Revolusi Iran telah menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk menuntut ilmu di Iran dan akhirnya membawa ajaran Syiah setelah pulang ke Malaysia”, ujar beliau.
Beliau menegaskan Hamas tetap pejuang yang perlu diangkat dalam isu Palestin berbanding Iran. Hal ini kerana, begitu banyak pengorbanan daripada zaman dulu hingga kini yang telah dilakukan oleh Hamas dalam menentang Israel dan mempertahankan Palestin.