BANGI – Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang tunggal untuk mempamerkan bangsa teras yang ada di Malaysia. Hal ini demikian kerana identiti yang ada sekarang agak berkecamuk dan bercampur-baur hingga menimbulkan kekeliruan.
Pengerusi BERJASA Melaka, Nazriq Rahman berkata isu ini sudah lama berlaku dan tiada tanda-tanda masalah ini akan selesai. Akhirnya, perpaduan antara kaum juga tidak dapat diselesaikan secara sepenuhnya.
“Apabila kita melihat nama negara kita iaitu Malaysia, sudah jelas negara ini tunjang imej dan identitinya adalah Melayu merujuk kepada perkataan “Malay” itu sendiri. Namun kini kita lihat pelbagai identiti cuba diserapkan untuk imej negara hingga ia kelihatan agak berkecamuk”.
“Cuba kita ambil contoh Jerman. Di Jerman, identiti mereka agak kuat kerana segala urusan perlu dibuat dalam bahasa Jerman. Bercakap dalam bahasa Jerman, belajar dalam bahasa Jerman malahan ingin berniaga sekali pun perlu mahir dalam bahasa Jerman tetapi perkara itu tidak berlaku di Malaysia”, tegas beliau.
Tambah beliau, Malaysia perlu menggunakan identiti asal mereka yang berteraskan Nusantara yang dilihat lebih cocok kepada negara ini. Apabila menyebut tentang Nusantara, ia merujuk kepada bangsa Melayu yang sudah lama menetap di Malaysia sebelum merdeka lagi.
“Malaysia identitinya adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa teras maka yang membentuk identiti utama Malaysia ini adalah orang Melayu kemudian barulah disusuli dengan kaum yang lain”, jelas beliau.
Selain itu, beliau juga berkata BERJASA menawarkan satu solusi dalam menyelesaikan masalah ini dengan memperkenalkan Dasar Identiti Nasional 2040 (DIN 2040).
DIN 2040 adalah satu inisiatif BERJASA yang menawarkan semua kaum untuk menggunakan identiti dan bahasa yang sama iaitu Melayu tanpa meminggirkan kebudayaan kaum lain.