Salah satu ciri mukmin adalah mempunyai rasa izzah dengan kemuliaan Islam, rasa sayang kepada agama dan apa jua tanda mahupun syiar yang membawa kepada ketinggian Islam memandangkan Islam juga merupakan identiti nasional Malaysia.
Demikian yang ditegaskan oleh Ketua Penerangan BERJASA Mohd Hamdan Mohd Sharif yang menegaskan Islam sememangnya identiti nasional bagi Malaysia dan Melayu pula adalah kaum majoriti di sini maka imej berkenaan Islam dan Melayu wajar diangkat dan dikedepankan oleh kerajaan.
Namun sungguh mengecewakan apabila seorang menteri di dalam kerajaan bersikap tidak begitu sensitif melibatkan identiti nasional Malaysia ini.
Hal ini merujuk kepada tayangan video Kempen Visit Malaysia 2026 yang tidak memaparkan langsung elemen berkenaan Melayu dan Islam.
Video tersebut hanya memaparkan rumah ibadah agama lain dan tanpa segan silu menonjolkan bangunan tinggalan penjajah seperti Bangunan Stadhuys contohnya.
Mengapa Identiti Nasional Ini Dipinggirkan Dan Pemimpin Hanya Berdiam Diri Sahaja?
Mohd Hamdan dalam kenyataannya juga mempersoalkan di manakah suara pemimpin Islam di dalam kerajaan mengenai isu ini.
Mereka kononnya mengatakan kerajaan Madani ini adalah cerminan kerajaan yang menjaga kepentingan orang Islam namun itu hanya cakap kosong sahaja.
Di dalam Perkara 3 Perlembagaan sudah jelas menyatakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan dalam perkara yang sama juga menyebut berkenaan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.
Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pula memegang peranan di negeri-negeri yang tidak mempunyai raja seperti Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka.
Meminggirkan identiti Melayu Islam di dalam video tersebut seakan telah menghina negara ini yang dipimpin oleh ketua negara yang berbangsa Melayu dan diamanahkan untuk menjaga kesucian Islam di negara ini.
Walaupun Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Tiong King Sing sudah menegaskan video rasmi yang berikutnya akan memaparkan elemen masjid di Malaysia, amat diharapkan untuk Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dengan bertegas dalam isu ini.
Tiong King Sing bukan sahaja tidak mahu mengakui kesilapan di dalam video itu malahan menuduh pengkritik video tersebut sebagai ekstremis dan bersifat perkauman.
Hal ini sepatutnya menjadi signal kepada kerajaan agar melantik ahli politik yang berbangsa Melayu dan berwibawa untuk memegang portfolio Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana mereka lebih faham mengenai identiti nasional Malaysia yang sebenarnya.