Malaysia dahulunya merupakan negara tumpuan di rantau Asia Tenggara dalam pelaburan asing langsung (FDI) yang mana pada tahun 1980 Malaysia menerima 35% daripada keseluruhan FDI yang datang ke ASEAN dan pada 1990 ia menurun kepada 20%.
Namun yang terkini pada 2021 FDI keseluruhan ke ASEAN hanya 7% sahaja diterima oleh Malaysia. Penurunan peratusan ini begitu banyak menurun dan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran lain yang mana Singapura menerima 57%, Indonesia (11%) dan Vietnam (9%) kini sudah pun jauh mendahului Malaysia dalam menarik pelabur asing.
Data dan laporan ini diterima daripada portal The Edge Malaysia yang bertajuk Opinion: The forgotten frontrunner – How Malaysia fell behinde the Asean race pada 16 Jun 2025
Pastinya timbul persoalan apakah punca kepada berlaku perkara sebegini sedangkan kerajaan giat mencanang bahawa mereka berjaya membawa FDI yang bernilai tinggi ke Malaysia.
Negara ASEAN Terus Memecut, Malaysia Ketinggalan Di Posisi Yang Hilang Arah
Malaysia sebenarnya gagal bertindak pantas ketika negara jiran giat melaksanakan pembaharuan untuk memantapkan ekonomi negara mereka masing-masing.
Vietnam mengambil langkah menarik pelabur dengan menyusun strategi kos dan logistik yang mantap. Indonesia mula memperkukuh infrastruktur digital dan dasar diregulasi manakala Singapura seperti biasa kekal dominan melalui kejelasan institusi dan kepintaran dasar.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Malaysia masih lagi bersikap tidak konsisten dengan cuba memenuhi semua aspek tanpa memfokuskan kepada kelebihan yang khusus.
Hal ini mengelirukan pelabur kerana Malaysia tidak dilihat mempunyai potensi khusus untuk mereka melabur di Malaysia maka mereka lebih memilih negara jiran yang lain.
Bukan itu sahaja malahan Malaysia masih mengalami masalah politik dalaman yang tidak stabil, pertukaran kepimpinan berterusan dan dasar ekonomi yang tidak konsisten yang akhirnya menjejaskan keyakinan pelabur.
Hal ini menampakkan Malaysia yang sudah dikenali dengan jenama “stabil dan reformis” kepada “tidak menentu dan mengecewakan”.
Sudah lah berhadapan dengan ketidakstabilan politik dalaman malahan ditambah pula dengan dasar ekonomi yang sentiasa berubah.
Selain itu, Malaysia yang sebelum ini amat menjaga kepentingan kumpulan kes menengah iaitu M40 sudah mula membebankan mereka dengan cukai seperti SST yang akan dilaksanakan pada 1 Julai 2025.
Malaysia sememangnya konsisten sejak 1970-an dalam dasar menghapuskan kemiskinan namun kepentingan rakyat kelas menengah masih dijaga dengan baik.
Golongan pertengahan adalah penting untuk daya tahan ekonomi dan kutipan hasil cukai namun bebanan yang ditanggung akibat dasar ekonomi negara kini menyebabkan mereka mengalami tekanan ekonomi, kehilangan mobiliti sosial dan akhirnya menyebabkan penghijrahan bakat (brain drain).
Malaysia Masih Ada Peluang Tetapi Perlunya Strategi Mampan
Malaysia sebenarnya masih mempunyai peluang yang besar untuk memajukan ekonominya kerana kini Malaysia menduduki tanga ke-26 sebagai ekonomi terbesar dunia dan pengeksport teknologi tinggi yang ke-20 terbesar di dunia.
Dua pelabuhan di Malaysia iaitu Port Klang dan Tanjung Pelepas pula berada dalam senarai 15 pelabuhan tersibuk dunia namun pencapaian ini berisiko untuk terus hilang jika kerajaan tidak merangka strategi mampan untuk menaikkan lagi ekonomi negara.
Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah mula berani menetapkan sasaran yang besar iaitu mensasarkan Malaysia memperoleh US$1 trilion bukannya RM1 trilion.
Saranan yang diberikan oleh ahli ekonomi, Samirul Ariff Othman ini dilihat ada asasnya bagi memastikan kerajaan tidak terlalu selesa menetapkan pencapaian yang agak minimum.
Bukan itu sahaja malahan sebaiknya fokus menarik pelabur asing ke Malaysia tidak sahaja tertumpu kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kerana sebaiknya ia memerlukan usaha menyeluruh daripada semua kementerian.
Malaysia mesti bangkit semula sebagai pemimpin ASEAN yang sebenar — dari segi perdagangan, digital ekonomi dan pertahanan.
Jika tidak bertindak segera, Malaysia akan terus dipintas oleh jiran-jiran — bukan kerana saiz penduduk, tetapi kerana mereka lebih berdisiplin dalam melaksanakan strategi ekonomi.