SHAH ALAM – Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah melahirkan rasa kecewa terhadap pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelmarin untuk mengekalkan garis panduan pengumpulan dana sekolah. Pengerusi Dong Zong Tan Yew Sin berkata persatuan itu menegaskan sekolah Cina terus mengumpul dana dengan cara yang sama seperti yang mereka lakukan sejak 30 tahun lalu.
Tan menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan syarikat bir melainkan kerajaan bersedia menyediakan dana yang mencukupi kepada sekolah Cina.
Kenyataan itu nyata mengejutkan Ketua Penerangan BERJASA Mohd Hamdan Mohd Sharif yang melihat ia sebagai satu kenyataan yang ingin mencabar undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan sekian lama.
Beliau menegaskan Dong Zong sepatutnya sedar bahawa kerajaan saban tahun memperuntukkan jumlah dana yang bernilai jutaan Ringgit untuk sekolah-sekolah Cina dengan tambahan-tambahan dana segera pada waktu musim tertentu.
Malahan secara purata jumlah peruntukan yang diterima sekolah Cina jauh lebih besar jika dibandingkan dengan peruntukkan yang diterima oleh sekolah kebangsaan untuk semua kaum. Hal ini dapat dibuktikan melalui beberapa contoh infrastruktur sekolah kebangsaan yang agak daif terutamanya yang berada di pedalaman negeri Sabah dan Sarawak.
“Saya berasa agak kesal kerana setelah puluhan tahun merdeka Dong Zong masih ingin membawa mentaliti identiti sebegini dan langsung tidak menampakkan semangat untuk berasimilisasi dengan identiti nasional“.
“Mereka juga seolah-olah ingin mengugut kerajaan dengan mengatakan ingin kekal menerima tajaan daripada syarikat arak sedangkan banyak lagi syarikat selain arak yang dimiliki oleh kaum Cina boleh memberikan dana kepada sekolah-sekolah ini”, tegas beliau.
Dalam masa yang sama juga, beliau mendesak agak Dong Zong mematuhi undang-undang dan garis panduan bagi menyelamatkan premis pendidikan dari pengaruh aktiviti yang merosakkan seperti judi, rokok dan arak.
Beliau juga menyeru kerajaan untuk tidak tunduk kepada desakan Dong Zong yang semakin melampau dan mereka ini boleh diibaratkan sebagai kaduk naik junjung.
Terdahulu, dalam video yang dimuat naik oleh China Press, Pengerusi Dong Zong Tan Yew Sin berkata persatuan itu menegaskan sekolah Cina terus mengumpul dana dengan cara yang sama seperti yang mereka lakukan sejak 30 tahun lalu.