Diramal Tewas 2 PRU, Rakyat Masih Trauma Dengan PH – Zamani Ibrahim

Presiden BERJASA Zamani Ibrahim

Bangi: Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bahawa Pakatan Harapan (PH) diramal tewas dalam dua pilihan raya umum (PRU) bukanlah satu omong kosong.

Sebaliknya, ia adalah kenyataan yang benar kerana rakyat sehingga kini masih lagi trauma dengan pengalaman berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, rakyat melihat gabungan yang kini bergelar pembangkang itu tidak mampu membela nasib mereka.

Dakwanya, PH yang diketuai DAP membawa agenda kepartian yang bertujuan mahu menggantikan peranan UMNO.

“PH bukan sebuah parti yang membawa agenda nasional tetapi bawa agenda kepartian dan mempunyai niat menggantikan UMNO.

“Hakikatnya rakyat masih trauma dengan pentadbiran PH selama 22 bulan dan boleh dikatakan sebagai sejarah hitam politik negara sejak Malaysia wujud.

“Rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berkata-kata tetapi apabila diberi mandat mereka ada agenda tertentu dan bukannya untuk bela rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Media melaporkan Nurul Izzah berkata, PH diramalkan tewas pada dua lagi pusingan PRU sebelum boleh menguasai Putrajaya.

Nurul Izzah berkata, ia mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan.

Ustaz Zamani menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Nurul Izzah sebagai tepat dan ikhlas.

Katanya, ini memandangkan semua yang diperkatakan beliau terbukti dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat kini menantikan sebuah pentadbiran yang jujur dan ikhlas dalam membela nasib mereka.

Malah, pentadbiran itu juga diharap dapat mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman sentosa dengan kekayaannya dinikmati bersama.

“Rakyat kini sedar Barisan Nasional (BN), UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan PH bukanlah membawa agenda negara tetapi lebih kepada kepartian semata-mata,” dakwanya.

Sumber – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Kerajaan vs Ibu Bapa – Ir Lukman Al Hakim

Next Post
Norazliza Rajiain Ketua Pemudi BERJASA

Rina Harun Hentilah Cari Publisiti – Azliza Rajiain

Related Posts