Bangi – Usaha melahirkan masyarakat yang harmoni melalui sistem pendidikan tidak akan tercapai selagi adanya sekolah vernakular.
Ekoran itu, timbul persoalan mengapa kerajaan masih memperuntukkan jutaan ringgit kepada sekolah vernakular – meskipun mendapat kecaman hebat daripada banyak pihak.
Haji Aminuddin Yahaya menjelaskan, polisi dan dasar kerajaan ditentukan bukan dengan melihat nasib rakyat tetapi ditentukan oleh golongan taikun dan jutawan.
Katanya, golongan itu yang memainkan peranan di belakang tabir menarik ‘hidung’ ahli politik yang bergantung harap kepada ‘funding’ daripada mereka.
Mengulas perkara itu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim mengakui bersetuju dengan lontaran berkenaan dari sudut apabila kerajaan sangat menjaga taikun dan jutawan di luar sana.
Ini kerana, meskipun rakyat telah melantik pemimpin, mereka tidak mengikut pandangan rakyat sebaliknya mengagungkan ataupun merujuk kepada golongan kapitalis, jutawan serta pemegang taruh yang berkaitan dengan keuntungan negara.
“Ada benarnya. Kalau kita lihat keberanian kerajaan ini dalam membawa suara rakyat adakalanya kita nampak suara itu tidak dibawa oleh kerajaan, tetapi lebih kepada persatuan, taikun di belakang. Contoh mudah sekolah vernakular.
“Kenapa kerajaan masih lagi menurunkan belanjawan berjuta-juta kepada sekolah vernakular sedangkan ia jelas satu sekolah yang tidak ada dalam Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Berikutan itu, Ustaz Zamani meluahkan rasa bimbang sekiranya sistem demokrasi itu laungan semata-mata.
“Demokrasi itu sekadar laungan semata-mata untuk kita menggambarkan bahawa Kerajaan Malaysia adalah kerajaan demokrasi,” katanya. – Sumber Ismaweb