Khazanah bertindak melabur sebanyak RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan tinggalan penjajah British iaitu Carcosa Seri Negara.
Carcosa Seri Negara yang dibina pada tahun 1896 oleh Sir Frank Swettenham itu menjadi kediaman rasminya sejak 1904.
Jika ditelusuri sejarah pendudukan Frank Swettenham di Tanah Melayu, pegawai British ini yang mula-mula memperkukuhkan kuasa residen British di Tanah Melayu yang akhirnya meletakkan sultan Melayu sebagai simbol tanpa kuasa sebenar dalam pentadbiran.
Bukan itu sahaja malahan Frank Swettenham bertanggungjawab dalam memperkenalkan dasar pendidikan yang bersifat diskriminasi.
Orang Melayu hanya dibenarkan untuk belajar membaca, menulis dan mengira agar orang Melayu kekal sebagai petani dan nelayan bukannya bukan pentadbir atau profesional.
Jelas pegawai British ini adalah individu yang jahat dan berniat untuk merendahkan martabat orang Melayu yang merupakan rakyat sah di negara sendiri.
Namun akhirnya kerajaan pada hari ini sibuk ingin memulihara rumah tinggalannya atas alasan bangunan itu adalah warisan negara.
Carcosa Seri Negara Tetap Menjadi Bangunan Bersejarah Namun Kebajikan Rakyat Jangan Dilupakan
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif tidak menafikan keberadaan Carcosa Seri Negara sebagai satu bangunan yang bersejarah namun kerajaan tidak sepatutnya memuliharanya dengan bajet yang begitu besar.
“Saya tidak menafikan bangunan Carcosa yang sebelumnya digabungkan dengan Seri Negara menjadi Carcosa Seri Negara ini menjadi saksi kepada penyediaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 tetapi memperuntukkan bajet yang besar untuk memuliharanya saya berpendapat adalah tidak patut”.
“RM600 juta adalah bajet yang begitu besar daripada Khazanah yang majoritinya merupakan wang rakyat maka sebaiknya jumlah bajet itu dibelanjakan kepada rakyat”.
“Apa manfaat yang diperoleh oleh rakyat hasil daripada pemuliharan Carcosa Seri Negara tinggalan penjajah British ini?”, soal beliau.
Beliau berpendapat sebaiknya wang itu diutamakan untuk rakyat yang memerlukan memandangkan kerajaan pun sedia maklum kadar pertumbuhan negara pada tahun 2026 agak perlahan iaitu sekitar 4.0% hingga 4.5% sahaja jauh daripada jangkaan 4.0% hingga 4.8% seperti yang diramalkan sebelum ini.
Gunakan Bajet RM600 Juta Bina Rumah Mampu Milik Untuk Rakyat
Bajet RM600 juta yang diperuntukkan daripada Khazanah itu sebaiknya digunakan untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) yang fokusnya kepada rakyat berpendapatan rendah.
Beliau memberikan contoh jika seunit rumah mampu milik dianggarkan menelan kos sebanyak RM160,000 seunit, sebanyak 3,750 unit rumah PPR dapat dibina oleh kerajaan.
Jika kos seunit dinaikkan kepada RM250,000, maka sebanyak 2,400 unit dapat dibina untuk rakyat yang berpendapatan rendah.
“Mungkin akan ada pihak yang mempertikaikan kos seunit yang dinyatakan oleh saya ini namun kita ambil contoh daripada PPR Krubong di Melaka yang boleh dibina dengan kos seunit sebanyak RM168,333 maka penetapan kos yang dibuat ini adalah logik”.
“Pembinaan rumah PPR untuk rakyat dengan bajet RM600 juta ini sebenarnya boleh membina lebih kurang antara 3,500 hingga 4,000 unit rumah PPR ataupun 2,400 unit jika gunakan kos RM250,000 seunit”, tegas beliau.
Tambah beliau, didapati 47% rakyat Malaysia mempunyai bajet di bawah RM350,000 untuk membeli hartanah dan isu kemampuan kewangan adalah halangan utama menurut sumber daripada Consumer Sentimen Study 2023 H1.
Banyak juga rumah “overhang” yang siap namun tidak terjual menunjukkan ada ketidakpadanan antara apa yang ditawarkan oleh pemaju dengan kemampuan rakyat.
Sepatutnya isu ini yang difokuskan oleh kerajana dengan adanya RM600 juta itu bukannya dengan memulihara bangunan tinggalan penjajah British.