Hari Ahad esok yang jatuh pada tanggal 31 Ogos 2025 menyaksikan negara kita iaitu Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan bagi menandakan kita sudah berdiri sebagai sebuah bangsa yang merdeka.
Hari yang disambut bagi menandakan kemerdekaan negara dan menghargai sumbangan pejuang terdahulu sepatutnya diisi dengan momen yang membanggakan untuk ditunjukkan kepada negara luar terutamanya pelancong asing yang datang menyaksikan perarakan pasukan beruniform esok.
Namun begitu, BERJASA begitu kesal dengan wujudnya trend peragaan tubuh badan lelaki mahupun perempuan yang dilihat berpotensi membawa naratif yang salah kepada masyarakat.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif melihat sambutan Hari Kebangsaan yang sepatutnya menjadi medan kepada penyatuan kaum di seluruh Malaysia telah lari daripada tujuan asal apabila diselitkan dengan pengisian yang longgar.
Kenyataan beliau ini dipercayai merujuk kepada unsur hiburan yang berlebihan, peragaan tubuh badan berotot dan persembahan tanpa mesej yang jelas.
Naratif sebegini bukan sahaja menenggelamkan erti kemerdekaan malahan merosakkan roh perjuangan yang sebenar.
Sambutan Hari Kebangsaan Wajar Dijadikan “Soft Power” Malaysia Kepada Dunia
BERJASA melihat sambutan Hari Kebangsaan ini wajar dijadikan satu medan pertunjukkan “soft power” Malaysia kepada dunia luar.
Hal ini dapat diambil contoh daripada negara luar yang memperagakan aset ketenteraan tercanggih mereka apabila tibanya perarakan Hari Kebangsaan.
Pertunjukkan aset ketenteraan negara luar seperti Indonesia misalnya sepatutnya menjadi kayu ukur perbandingan kepada Malaysia bahawa adakah negara kita sudah memiliki aset pertahanan yang canggih dan mencukupi.
Perkasakan mesej Hari Kebangsaan ini dalam memperkukuhkan identiti Melayu dan Islam sebagai teras negara, pengukuhan kedaulatan negara, penghormatan kepada institusi raja-raja Melayu dan mendidik generasi muda bahawa kemerdekaan bukan hiburan semata-mata.
BERJASA Seru Pada Rakyat Untuk Kukuhkan Naratif Perjuangan
Beliau yang mewakili BERJASA menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kembali kepada naratif perjuangan sebenar kemerdekaan dan kukuhkannya di dalam diri sendiri.
Usah jadikan sambutan Hari Kebangsaan disambut tanpa ada roh atau sekadar pesta suka-suka yang melalaikan kerana kemerdekaan yang dikecapi ini adalah amanah yang besar dan diperjuangkan oleh darah para pejuang terdahulu.
Generasi sekarang wajib untuk sedar bahawa keringat yang ditumpahkan oleh pejuang kemerdekaan amat besar hingga mengorbankan nyawa mereka kerana dibunuh oleh penjajah durjana.
Ayuh jadikan Hari Kebangsaan sebagai pentas untuk memperbaharui tekad kita untuk mempertahankan negara, mengangkat maruah bangsa dan memperkasakan jati diri Melayu dan Islam yang menjadi tunjang kepada Malaysia.