Belanjawan 2025 kini menghitung hari untuk dibentangkan di Parlimen dan pembentangannya dijangka dibuat pada 18 Oktober 2024.
Dengan tema “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”, bajet ini dijangka akan meneruskan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menaikkan siling potensi ekonomi negara dan memastikan peningkatan mutu kehidupan rakyat.
Dikala mata wang Ringgit terus mencatatkan pengukuhan nilai yang begitu memberangsangkan, semestinya kerajaan ingin meneruskan kecemerlangan ekonomi ini di dalam Belanjawan 2025 nanti.
4 Fokus Utama Belanjawan 2025
Pembentangan Belanjawan 2025 nanti mungkin akan difokuskan kepada 4 fokus utama bagi memperkasakan ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih baik lagi.
Pertama, belanjawan yang difokuskan oleh kerajaan akan tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi dan reformasi struktur yang bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh asas ekonomi negara.
Hal ini dapat dilakukan dengan memacu inovasi, daya cipta dan daya saing melalui digitalisasi, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, “Ini yang kita tekankan mengenai menaikkan siling (ekonomi) supaya penstrukturan ekonomi itu dalam memacu pertumbuhan, daya cipta, daya saing, pendigitalan, AI (kecerdasan buatan) yang diterokai dan reformasi dalam penjawat awam kerana ia tidak boleh kita harap cara dan kaedah lama untuk kita capai pendekatan baharu atau dasar baharu“.
Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.
Kedua, belanjawan kali ini berkemungkinan besar akan memberikan sokongan kepada sektor penting yang mana pelaburan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan ditingkatkan.
Sokongan kepada PKS adalah penting kerana walaupun mereka menyumbang kepada 48% pekerjaan namun sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 38%.
Belanjawan 2025 seperti yang diterangkan di dalam Laman Khas Belanjawan 2025 menegaskan usaha akan dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan PKS lebih mampan dan bersedia untuk bersaing di pasaran antarabangsa.
Ketiga, inovasi dan teknologi akan diperkasakan oleh kerajaan dengan memberi tumpuan kepada memperkukuh ekosistem teknologi.
Hal ini dapat dilakukan dengan mempromosi automasi dan penggunaan teknologi terkini seperti AI untuk meningkat daya saing negara di peringkat global.
Selain itu juga, sektor kewangan Islam akan diperkukuh untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan beretika dan pembangunan mampan.
Keempat, fokus yang akan ditumpukan oleh kerajaan dalam pembentangan belanjawan nanti ialah dalam soal pengukuhan sosio-ekonomi.
Kerajaan akan terus menyalurkan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk meringankan kos sara hidup terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan di kawasan luar bandar.
Hal ini bertujuan memastikan masyarakat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
Tambahan lagi, belanjawan ini dijangka membentangkan usaha meningkatkan keterlibatan dengan sektor swasta dalam inisiatif hijau dan menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi bagi menyokong agenda pertumbuhan mampan negara.
Menarik untuk menunggu hari pembentangan belanjawan nanti untuk melihat tawaran yang ditawarkan oleh kerajaan dengan lebih dekat.