Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer telah mengeluarkan kenyataan yang kontroversi dengan mendakwa rasuah di Malaysia berleluasa dan berakar umbi kerana berpunca daripada begitu ramainya penjawat awam yang beragama Islam di dalam agensi dan institusi kerajaan.
Menerusi portal Ekonomi Rakyat, beliau menambah bahawa kerajaan telah melakukan gerakan penghapusan beransur-ansur orang bukan Islam daripada hampir setiap institusi kerajaan sejak empat dekad yang lalu.
Bukan itu sahaja malahan beliau dengan lagaknya menyeru kerajaan untuk meningkatkan bilangan orang bukan Islam dalam semua institusi awam terutamanya dalam badan yang mentadbir kedaulatan undang-undang agar meritokrasi dan etika dapat ditegakkan.
Statistik Rasuah Di Malaysia Paparkan Ramai Bukan Melayu Beri Rasuah
Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau itu seakan bertujuan untuk menyalahkan bilangan penjawat awam beragama Islam dan berbangsa Melayu yang ramai sebagai punca kepada berleluasanya gejala rasuah di Malaysia ini.
Jika mengikut kepada laporan Berita Harian bertarikh 12 Julai 2023, mungkin beliau sedar bahawa tanggapan beliau sebenarnya itu salah.
Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui lebih ramai kaum bukan Melayu yang menjadi pemberi rasuah dan penerimanya kebanyakan terdiri daripada orang Melayu.
Walaubagaimanapun, laporan statistik mengenai rasuah tidak wajar dibandingkan mengikut kaum kerana masalah gejala rasuah yang berlaku di Malaysia sebenarnya berlaku terhadap semua kaum dan tiada satu pun yang terkecuali.
Dakwaan bekas hakim mahkamah itu jelas berniat jahat dan ingin memberikan gambaran negatif terhadap penjawat awam yang beragama Islam.
Lantikan Penjawat Awam Ikut Merit Bukan Kuota Kaum
Beliau juga silap ketika mendakwa berlakunya penghapusan secara beransur-ansur terhadap orang bukan Islam di dalam institusi kerajaan juga adalah tidak benar.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam kenyataannya tahun lepas menyatakan kaedah pelantikan penjawat awam adalah dibuat secara telus berdasarkan merit dan kompetensi calon bukannya mengikut kuota kaum.
SPA menegaskan tiada diskriminasi kaum dalam urusan pengambilan penjawat awam di bawah bidang kuasa SPA.
Kaedah ini juga terpakai kepada pihak berkuasa melantik selain SPA seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Memang benar ada berlakunya dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam namun pengambilan tetap dibuat berdasarkan merit.
Sudah banyak laporan yang mengatakan kaum lain selain Melayu seperti Cina dan India tidak gemar untuk menyertai perkhidmatan awam kerana tangga gaji yang rendah.
Maka adakah masih ingin meletakkan kesalahan kepada penjawat awam yang berbangsa Melayu dan Islam?
Beliau sepatutnya jujur sahaja bahawa beliau ingin menanam sentimen kebencian terhadap penjawat awam melalui dakwaan jahat tersebut.