Naib Presiden BERJASA, Mohd Khoushaini Mohd Naim menggesa kerajaan telus menjelaskan susulan dakwaan 127.3 hektar di Pulau Sebatik kini menjadi milik Indonesia.
Beliau berkata isu kedaulatan wilayah tidak boleh dipandang ringan walaupun kerajaan negeri Sabah menafikan berlaku penyerahan kawasan kepada negara jiran.
Menurutnya, sebarang perubahan atau penyelarasan sempadan melibatkan wilayah negara perlu dijelaskan secara terbuka kerana ia melibatkan maruah dan integriti negara.
“Setiap inci tanah bukan sekadar angka, tetapi melambangkan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi tanpa kefahaman rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sempadan strategik, bukan sekadar teknikal
Khoushaini berkata Pulau Sebatik merupakan kawasan unik sekian lama terbahagi antara Malaysia dan Indonesia, menjadikannya sensitif dari sudut geopolitik.
Rundingan sempadan antara negara jiran adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan walaupun kecil perlu dilihat dalam kerangka strategik jangka panjang.
Beliau menambah kawasan sempadan sering mempunyai implikasi lebih besar termasuk aspek keselamatan, ekonomi serta akses kepada sumber.
Perlu ketelusan dan keutamaan kepentingan negara
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang dakwaan bahawa Malaysia mendapat kelebihan daripada rundingan perlu disertai penjelasan dasar yang jelas kepada rakyat.
Katanya, tanpa ketelusan, persepsi kehilangan wilayah walaupun kecil boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
“Dasar luar dan keselamatan mesti berasaskan prinsip ‘national interest first’ yang jelas dan difahami rakyat,” katanya.
Diplomasi perlu seiring ketegasan
Hubungan baik Malaysia dengan Indonesia penting untuk kestabilan serantau, namun ia tidak boleh mengorbankan ketegasan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Negara perlu berani mempertahankan sempadan serta memperkukuh keupayaan dalam pemetaan wilayah, rundingan antarabangsa dan pertahanan”, tegasnya.
Pengajaran untuk kedaulatan negara
Beliau berkata isu Pulau Sebatik harus dijadikan pengajaran bahawa kedaulatan wilayah adalah asas penting dalam pembinaan negara maju.
Dasar keselamatan sempadan, diplomasi strategik dan komunikasi awam perlu diperkukuh supaya keputusan berkaitan wilayah dilihat telus dan menjaga kepentingan rakyat.
“Negara yang berdaulat ialah negara yang jelas sempadannya, tegas mempertahankan haknya dan telus dalam keputusan strategik,” katanya.