Ketua Pemudi Berjasa, Azliza Rajiain mengecam keras pementasan teater melibatkan pelajar di Universiti Malaya yang memaparkan adegan intim di atas katil.
Perbuatan ini melampaui batas agama, budaya dan norma masyarakat malah mencemarkan imej institusi pendidikan tinggi sebagai medan pembinaan akhlak dan intelektual.
Universiti bukan pentas maksiat atas nama seni
Menurutnya, perkara yang lebih membimbangkan adalah insiden ini berlaku di sebuah universiti terkemuka negara. Pihak universiti sendiri mengakui bahawa adegan tersebut melanggar garis panduan pertandingan serta tidak selaras dengan skrip asal yang diluluskan.
“Persoalannya, di manakah kawalan dan tanggungjawab pihak pentadbiran? Apakah universiti hari ini sedang melahirkan generasi intelektual berprinsip, atau membiakkan normalisasi maksiat yang dibungkus atas nama kebebasan seni?“, soalnya.
Islam menutup pintu maksiat, bukan membukanya
Beliau juga menegaskan bahawa Islam bukan sahaja melarang zina, bahkan menutup segala jalan yang boleh membawa kepadanya. Surah al-Isra’ ayat 32 menyebut:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan jalan yang buruk.”
Justeru, usaha menormalisasikan adegan tidak bermoral dalam ruang pendidikan; satu bentuk pencabulan terhadap nilai agama yang menjadi teras masyarakat Malaysia.
Tindakan tegas dan reformasi IPT mesti dilaksana
Oleh itu, Pemudi Berjasa Malaysia:
- Mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap semua pihak terlibat tanpa kompromi.
- Menuntut pihak Universiti Malaya bertanggungjawab sepenuhnya, bukan sekadar memohon maaf selepas tekanan awam.
- Menggesa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menjalankan audit menyeluruh terhadap kandungan program pelajar di seluruh IPT.
- Menyeru mahasiswa Islam khususnya agar bangkit menolak budaya rosak yang cuba disusup masuk ke dalam ruang intelektual.
“Kita tidak mahu akhirnya nanti institusi pendidikan bertukar menjadi pusat normalisasi maksiat, bukan lagi pusat pembinaan tamadun dan peradaban”, tegasnya.