Polemik perkhidmatan kesihatan di Malaysia saban tahun timbul dan terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa elaun on-call untuk doktor tidak dapat dinaikkan buat masa ini.
Perkara ini disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang mengumumkan kenaikan elaun on-call ini tidak dapat dilaksanakan buat masa sekarang walaupun ia telah diperuntukkan dalam Bajet 2025.
Sebab utama mengapa ia gagal untuk dilaksanakan adalah kerana KKM gagal untuk melaksanakan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang mana pelaksanaan sistem syif ini terhalang oleh kekurangan pegawai perubatan di banyak fasiliti kesihatan.
WBB diperkenalkan oleh kerajaan untuk untuk mengurangkan beban kerja doktor dengan mengurangkan had waktu kerja berturut-turut daripada 33 jam kepada 18 jam namun keadaan terkini yang mana KKM menghadapi kekurangan kakitangan meyebabkan doktor dan jururawat terpaksa menanggung beban kerja yang semakin berat.
Di bawah WBB, doktor dan pakar yang bertugas aktif pada hujung minggu akan menerima elaun lebih tinggi iaitu RM275 bagi doktor biasa dan RM315 bagi pakar berbanding RM315 bagi pakar berbanding RM220 serta RM250 sebelumnya.
Walaubagaimanapun, kerajaan telah pun menghentikan projek perintis WBB pada Januari 2025 kerana beranggapan ia tidak popular dan sukar dilaksanakan.
KKM Gagal Tunaikan Janji Naikkan Elaun On-Call Doktor, Komunikasi Teruk
Kegagalan KKM untuk menaikkan elaun on-call doktor ini menunjukkan bahawa kerajaan gagal untuk mengotakan janji yang pernah diberikan oleh mereka dahulu.
Pada Oktober 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap Menteri Kewangan telah mengumumkan kenaikan elaun on-call sebanyak RM55 hingga RM65 dalam Bajet 2025.
Namun situasi semasa menunjukkan bahawa janji ini belum direalisasikan sepenuhnya dan menimbulkan kekecewaan di kalangan doktor termasuk doktor berstatus kontrak yang lantang mengkritik kegagalan kerajaan dalam menguruskan isu ini.
Isu ini juga memperlihatkan betapa teruksnya kompetensi KKM dalam menguruskan isu ini yang mana mereka dilihat menghadapi masalah komunikasi dalaman dan kurang kesiapan dalam melaksanakan WBB.
Dalam satu sumber yang dipercayai mengatakan bahawa wujud laporan yang mengatakan Menteri Kesihatan sendiri tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai pekeliling WBB sebelum ia menjadi isu media.
Hal ini memperlihatkan kelemahan pentadbiran kerajaan kini yang akhirnya menjejaskan keberkesanan pelaksanaan sehingga membebankan penjawat awam.
Kerajaan Perlu Segera Cari Solusi
Isu ini tidak sepatutnya dipandang ringan sahaja memandangkan buat masa ini doktor yang bertugas pada syif malam hari bekerja (3 petang hingga 9 pagi) tidak menerima elaun tambahan yang sewajarnya walaupun mereka menghadapi tekanan tinggi dan risiko keletihan melampau.
Mereka akan berasa tidak bermotivasi untuk meneruskan tugas merawat pesakit dan dikhuatiri perkhidmatan kesihatan di negara kita akan lumpuh jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera.
Memandangkan KKM belum mampu untuk menaikkan lagi elaun on-call doktor ini, wajar untuk KKM menangguhkan sementara waktu pelaksanaan WBB ini sehingga dilakukan rundingan lebih mendalam dengan semua pemegang taruh seperti doktor, pakar dan kesatuan pekerja.
Apa yang perlu difokuskan oleh kerajaan adalah dengan menjaga kebajikan doktor dan jururawat memandangkan mereka pemain utama dalam menggerakkan perkhidmatan kesihatan di negara kita.
Jika dikatakan ia berpunca daripada kekangan bajet, kerajaan sebenarnya telah meningkatkan peruntukan untuk sektor kesihatan secara signifikan dalam Belanjawan 2025 dengan perbelanjaan mengurus KKM dinaikkan daripada RM35.15 bilion pada 2024 kepada RM38.53 bilion untuk 2025.
Selain itu, keseluruhan peruntukan KKM pula adalah sekitar RM45.3 bilion meningkat daripada RM41.2 bilion tahun sebelumnya.
Namun cabaran kini yang dihadapi oleh KKM ialah keadan kos perubatan yang meningkat (inflasi perubatan) yang pastinya memerlukan KKM untuk membelanjakan kos yang besar tetapi soal kebajikan petugas kesihatan juga tidak sepatutnya diabaikan.
Kegagalan kerajaan dalam menguruskan isu ini bukan sahaja akan menjejaskan petugas kesihatan malahan lebih teruk lagi kualiti penjagaan kesihatan terhadap rakyat juga akan menurun.