Hutang negara mencatatkan peningkatan kepada RM1.173 trilion pada tahun 2023 meningkat daripada RM1.080 trilion pada tahun 2022.
Peningkatan ini adalah sebanyak RM92.918 bilion ataupun 8.6 peratus seperti yang dimaklumkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 3/2024.
Laporan itu menyatakan hutang itu terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan dan Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 bilion atau 2.5 peratus.
Hal ini jelas menampakkan penyataan kontra daripada kerajaan yang sebelum ini menyatakan pendirian untuk komited dalam mengurangkan nisbah hutang negara.
Hutang Negara Meningkat Nyata Membimbangkan
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim meluahkan kebimbangan beliau setelah melihat laporan ini.
Beliau menegaskan jumlah hutang ini telah mencecah 65% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang berjumlah RM1.8 trilion pada tahun 2023 dan jika ia ditambah dengan liabiliti maka jumlahnya boleh mencecah 81% daripada KDNK.
Semua pihak juga wajar merasa bimbang dengan kadar hutang ini kerana jumlah ini hanya merupakan hutang kerajaan yang tidak termasuk hutang agensi atau syarikat milik kerajaan (GLC) apatah lagi hutang syarikat-syarikat swasta yang menyumbang secara terus kepada KDNK negara.
Tambah beliau lagi, kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak mempunyai dasar fiskal dan strategi yang ampuh untuk mengurangkannya.
Hal ini sama juga dengan Bank Negara (BNM) yang kelihatan agak lemah dalam melaksanakan polisi monetari.
Peningkatan kadar hutang ini akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar kadar faedah yang amat tinggi yang mana Malaysia terpaksa membayar faedah ataupun bunga pinjaman berjumlah RM46 bilion pada tahun 2023.
RM46 bilion itu meliputi 16% pendapatan negara dan agak membimbangkan apabila pendapatan negara kebanyakkannya digunakan untuk membayar hutang sahaja.
Kerajaan Gagal Uruskan Hutang Dengan Baik
Kerajaan pada hari ini ataupun “government of the day” jelas merupakan kerajaan gagal dalam menguruskan hutang mahupun ekonomi negara.
Bukan setakat hutang yang meningkat malahan kos sara hidup juga meningkat apabila ditadbir di bawah pentadbiran kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Agak menarik untuk menunggu pembentangan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Parlimen pada hari Jumaat minggu ini.
Seluruh rakyat Malaysia akan memerhati apakah idea dan perancangan kerajaan untuk mengatasi kegagalan menguruskan ekonomi ini.