3 orang warganegara Singapura dan seorang warganegara Malaysia telah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada 26 Jun 2025 dan kes ini pun dibawa ke Mahkamah Tinggi atas kesalahan memiliki kokain dalam cecair vape.
Keempat-empat tertuduh ini telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel yang bertempat di Kuala Lumpur di mana pihak PDRM menemui 4,958 kartrij vape yang dipercayai mengandungi 9.42 liter cecair kokain.
Anggaran nilai rampasan yang dilakukan oleh PDRM ini adalah sebanyak RM7.29 juta. Kes ini merupakan kes pertama di Malaysia yang melibatkan kokain dalam bentuk cecair vape yang menandakan trend baharu penggunaan vape untuk pengedaran dadah.
Tambah pihak PDRM lagi, kartrij yang dirampas ini boleh dijual sekitar RM1,500 seunit di pasaran antarabangsa yang disasarkan kepada golongan elit untuk memilikinya.
Modus operandi ini dipercayai dilakukan bagi memastikan dadah ini boleh diedarkan tanpa dikesan oleh pihak berkuasa dengan mudah.
Boleh Disabitkan Hukuman Gantung Sampai Mati
Mereka kini didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori, penjara seumur hidup atau sebatan minimum 12 kali.
Walaupun ada sumber yang mengatakan hukuman mati menjadi pilihan bukan mandatori hasil daripada pindaan Abolition of Mandatory Death Penalty Act 2023 namun mengikut Seksyen 39B, kesalahan mengedar kokain melebihi 40 gram masih boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Memandangkan ini adalah kes pertama yang menyaksikan sindiket penyeludupan cecair kokain di dalam vape, maka hasil keputusan akhir mahkamah amat dinantikan oleh semua yang memerhati.
Kokain Dalam Cecair Vape Satu Trend Penyeludupan Dadah Terbaharu
Kerajaan perlu melihat trend ini dengan penuh rasa bimbang memandangkan ini telah pun memberi signal bahawa sudah wujudnya cara menyeludup dadah dengan menggunakan kaedah baharu.
Tidak melampau juga ingin mengatakan bahawa ini adalah “dosa” kerajaan kerana telah mengenepikan dasar Generational End Game (GEG) yang akhirnya membuka ruang kepada penyalahgunaan cecair vape termasuk kepada penyeludupan dadah dalam bentuk cecair.
Tanpa dasar GEG, pasaran vape menjadi lebih terbuka dan bebas malahan kurang penguatkuasaan terhadap kandungan cecair vape yang membolehkan dadah dimasukkan tanpa dikesan secara mudah.
Mungkin selepas ini selain kokain, akan ada penyeludupan dadah baharu menggunakan cecair vape seperti meth dan LSD dalam bentuk cecair pula.
Malaysia sudah sekian lama menjadi pusat transit untuk pengedaran dadah di peringkat antarabangsa dan kini kita terpaksa berhadapan pula dengan trend penyeludupan dadah dalam bentuk yang baharu iaitu menggunakan cecair vape.
Kerajaan gagal melihat perkara ini dengan terperinci sewaktu mengenepikan dasar GEG kerana begitu bernafsu menginginkan kutipan cukai yang lumayan daripada pemain industri vape.
Pihak antarabangsa suatu hari nanti tidak mustahil akan memandang Malaysia dengan imej yang begitu negatif apabila mengecop Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang menjadi tumpuan transit sindiket pengedaran dadah antarabangsa.