LEMBAH KLANG: Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai isu jenayah sosial yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak di sekolah. Ini juga seperti petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam sistem pendidikan negara. Hal ini kemudiannya mencetuskan luahan dan kebimbangan ramai pihak kerana generasi yang terlalu muda sudah terlibat dalam jenayah sebegini rupa.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga ada memberi responnya terhadap perkara ini dengan menegaskan sistem pendidikan negara kini sebagai cacat kerana laporan berita kebelakangan ini mencerminkan kegagalan dalam menekankan aspek dan nilai moral serta etika yang sepatutnya menjadi asas pembentukan insan berakhlak.
Dr Fadilah Ashari, Ketua Wanita Berjasa menyatakan pandangannya bahawa jenayah yang dilakukan kanak-kanak hari ini sudah ke tahap jenayah seperti orang dewasa. Beliau melahirkan kebimbangan yang mana walaupun segala kesalahan yang dilakukan remaja bawah usia 18 tahun masih tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak, tetapi kesalahan yang dilakukan remaja kini sudah menyentuh kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan ruang untuk mereka tidak dipertanggungjawabkan atas kesalahan itu masih ada.
“Saya mencadangkan adanya perbincangan besar dianjurkan untuk membicarakan isu akta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun kerana kanak-kanak di waktu ini sudah dipenuhi mindanya dengan pelbagai maklumat tanpa mampu menapis atau dengan kata lain membezakan mana yang baik dan sebaliknya. Dengan akses yang luas, situasi ini akhirnya menyebabkan mereka tidak mampu mengawal perbuatan mereka dengan tahap kematangan yang sepatutnya, terutama apabila tiada ibubapa di sisi mereka.” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa sekiranya kita berpegang kepada umur 18 tahun sebagai paras penentu dalam akta kanak-kanak, kita tetap perlu letakkan mereka dalam kebertanggungjawaban tidak kira dalam apa bentuk hukuman sekalipun tetapi yang sesuai dengan status mereka sebagai kanak-kanak. Beliau sangat merasakan akta kanak-kanak sedia ada perlu dilihat, digubal dan dipinda intipatinya seiring dengan peredaran zaman. Akses internet dan media sosial serta aplikasi-aplikasi kepada kanak-kanak juga tampaknya perlu dibataskan sebelum umur 18 tahun, sekiranya terbukti mempunyai elemen-elemen yang merosakkan generasi.