Hampir semua negara yang dikenakan kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) termasuk Malaysia kini sedang tergesa-gesa dalam melakukan rundingan dengan AS dan Donald Trump dengan sombongnya begitu berbangga dengan keputusannya itu.
Vietnam dan Indonesia masing-masing berjaya menurunkan tarif yang dikenakan oleh AS daripada 46% dan 32% kepada 20% dan 19% setelah menjalani proses rundingan yang panjang.
Ramai yang melihat ia sebagai langkah yang bagus untuk kedua-dua negara ini kerana berjaya mencapai kesepakatan untuk memperoleh kadar tarif yang rendah sedangkan banyak syarat yang sudah “digadaikan” kepada AS untuk memperoleh tarif itu.
Seperti Vietnam, mereka bersetuju untuk membuka sepenuhnya pasaran mereka kepada barangan buatan AS terutamanya produk yang bernilai tinggi seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan berkapasiti enjin besar tanpa sebarang tarif masuk.
Sama seperti Indonesia apabila Indonesia bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang tarif atau cukai import ke atas produk AS yang dieksport ke Indonesia.
Bukan itu sahaja malahan Indonesia turut bersetuju untuk membeli 50 pesawat Boeing bagi syarikat penerbangan nasional mereka iaitu Garuda Indonesia sedangkan syarikat penerbangan ini sedang berhadapan dengan kerugian yang besar hingga kini.
Dalam tempoh Q1 2025, Garuda Indonesia mencatat kerugian bersih sekitar USD76 juta walaupun ada sedikit penurunana berbanding tahun sebelumnya iaitu daripada 12% kepada 10%.
Jelas dapat dilihat bahawa Donald Trump bukannya mahukan rundingan tetapi menekan negara-negara ini untuk tunduk kepada tuntutan AS dan menjadikan “rundingan” itu sebagai satu kemenangan untuk satu pihak sahaja iaitu AS.
Trump mahu melakukan perkara yang sama kepada Malaysia dan antara tuntutan melampaunya kepada Malaysia untuk diberikan kadar tarif yang rendah ialah longgarkan syarat pensijilan halal bagi produk AS yang ingin masuk ke Malaysia.
Apa Syarat Tidak Masuk Akal Yang Trump Minta Daripada Malaysia?
Permohonan untuk menurunkan kadar tarif daripada AS semestinya bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh apatah lagi perlu berhadapan dengan Trump yang sukar dijangka keputusannya.
Dalam konteks perundingan ini, AS telah mengemukakan beberapa permintaan yang mesti dipenuhi oleh Malaysia sekiranya ingin mendapatkan kadar tarif yang rendah.
Menurut kenyataan rasmi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul mengatakan AS meletakkan empat tuntutan utama yang menjadi syarat pengurangan tarif.
Pertama, AS mahu Malaysia meningkatkan import dari AS atau membuka pasaran bagi mengurangkan jurang defisit dagangan yang kini memihak kepada Malaysia.
Kedua, AS menuntut Malaysia melonggarkan halangan bukan tarif terutamanya yang berkaitan standard halal, pensijilan makanan, pembelian kerajaan, keperluan ekuiti Bumiputera dan prosedur kastam yang dianggap menyukarkan barangan AS untuk memasuki pasaran Malaysia.
Ketiga, AS mahukan jaminan bahawa teknologi sensitif terutama yang berkaitan semikonduktor dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia tidak akan dipindahkan atau bocor ke negara ketiga seperti China termasuk pengetatan kawalan selia terhadap pergerakan cip AS di Malaysia.
Keempat, AS menekan Malaysia untuk memberi laluan lebih mudah dan insentif bagi syarikat AS melabur di Malaysia terutamanya sektor strategik seperti automatif, bahan kimia, peralatan perubatan, sektor minyak & gas dan telekomunikasi.
Semua tuntutan ini menampakkan bahawa AS sedang melakukan satu bentuk “neo-colonialism” terhadap ekonomi negara luar dengan cuba menggangu ekosistem sektor strategik Malaysia seperti minyak & gas yang didominasi oleh PETRONAS.
AS juga kelihatan ingin bermain api dengan Malaysia apabila tanpa segan silu meminta proses pensijilan halal dipermudah bagi produk daging, ayam dan produk makanan AS untuk masuk ke Malaysia.
Ahli Politik Dan Rakyat Perlu Bersatu Menolak Tuntutan Melampau Ini
Isu ini sepatutnya menjadi medan penyatuan seluruh ahli politik dan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang parti politik untuk menyatakan bantahan terhadap tuntutan melampau AS ini.
Donald Trump yang baharu sahaja menjawat jawatan sebagai Presiden AS dilihat kekal dengan sikapnya yang suka membuli negara lain sama seperti yang dilakukannya ketika menjawat jawatan tersebut pada 2016.
Hal ini menampakkan jelas sikap AS yang begitu memandang rendah soal kedaulatan Malaysia kerana turut melantik individu yang tidak berkredibliti iaitu Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia selain mengenakan tuntutan yang mengarut itu.
Permainan politik yang cuba dimainkan oleh Trump kepada Malaysia ini menjadi ujian politik kepada kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bijak berunding dengan AS tanpa menggadaikan maruah negara.