BANGI – Sekolah vernakular sudah memakan puluhan tahun diimplimentasikan dalam sistem pendidikan negara kita namun dilihat masih gagal dalam membawa impak positif kepada perpaduan nasional negara kita.
Ketua Pemuda BERJASA, Mohd Azriq Rosman memberi kenyataan sedemikian bagi membalas kembali kenyataan Menteri Pendidkan, Fadhlina Sidek yang menyatakan kerajaan tiada masalah dengan sekolah vernakular dan akan mempertahankannya dalam sistem pendidikan negara. Kenyataan Fadhlina Sidek itu dikeluarkan sewaktu ditemu bual di dalam BFM Radio baru-baru ini.
Beliau membidas kenyataan Fadhlina yang dilihat langsung tidak menggambarkan aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan aspirasi perpaduan nasional dalam kalangan rakyat. Beliau melihat tiada jaminan rakyat Malaysia mampu beradaptasi dengan identiti nasional yang sama apabila wujudnya kepelbagaian sekolah di negara kita.
“Kita sudah mencuba sistem ini buat sekian lama dan hasilnya menampakkan kita masih gagal untuk melahirkan sebuah identiti nasional yang kukuh sehinggakan ada dalam kalangan murid-murid tidak mampu bertutur secara penuh dalam bahasa kebangsaan”.
“Sekolah vernakular hanya diisytihar sebagai bukan badan berkuasa awam melalui keputusan Mahkamah Tinggi. Jika sekolah-sekolah ini tidak tertakluk untuk menggunakan bahasa Melayu, adakah ia juga boleh membawa maksud dana awam atau wang negara?”, soal beliau.
Tambah beliau, rakyat Malaysia sebenarnya tiada masalah untuk belajar bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin namun biarlah ia dilakukan di bawah platform yang sama. Seeloknya rakyat tahu secara jelas bahawa negara yang mereka duduki ini mempunyai akar identiti nasional yang satu iaitu bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan yang wajar diguna, difahami dan fasih untuk diucapkan secara lisan oleh semua rakyat Malaysia.