Apakah benar pembangunan mesti ditebus dengan pengorbanan identiti bangsa?
Perhimpunan aman yang berlangsung baru-baru ini menghimpunkan ratusan rakyat prihatin yang menolak Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (URA). Suara yang berkumandang bukan sekadar bantahan terhadap sebuah akta, tetapi luahan maruah bangsa yang semakin tercabar di tanah sendiri.
RUU URA dilihat sebagai gerakan terancang yang berpotensi mengubah demografi dan menghapus penempatan tradisional Melayu di tengah Kuala Lumpur—khususnya kawasan seperti Kampung Baru dan Sungai Baru. Di balik retorik pembangunan, tersembunyi agenda mengusir rakyat asal dari ibu kota secara ‘halal’ melalui undang-undang.
Aktivis Syed Hassan Syed Ali menegaskan bahawa Perdana Menteri mesti turun sendiri bertemu rakyat, bukan sekadar mendengar laporan rasmi yang mungkin jauh dari realiti sebenar. Pempengaruh seperti Rafidah Ibrahim pula berani bersuara, meskipun diugut tindakan undang-undang.
Kita mesti sedar, ini bukan soal parti, tetapi soal tanah, sejarah dan hak bangsa. Apakah kita sanggup melihat satu demi satu tapak warisan kita diganti dengan pencakar langit tanpa roh, tanpa akar?
RUU URA mesti dihentikan. Kuala Lumpur bukan milik pemodal asing atau proksi elit. Ia dibangunkan oleh darah dan keringat bangsa Melayu sejak zaman awal Tanah Melayu lagi.
Jangan biarkan nama dan budaya kita terpadam dari peta kota ini. Kedaulatan bukan hanya dijaga di sempadan negara, ia bermula di kampung, di rumah, dan di tanah warisan kita sendiri.