Hal ini berikutan wujudnya kekosongan di posisi Ketua Hakim Negara setelah Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah bersara pada 30 Jun lalu dan kini diisi hanya dengan pemangku, YAA Hasnah yang boleh memegang posisi itu hanya sehingga 14 November berikutan tarikh persaraan wajibnya yang juga bakal tiba.
Anwar bagaimanapun, tetap memberi kenyataan bahawa tiada campur tangan yang melibatkan dirinya dalam proses pelantikan Ketua Hakim Negara. Ini mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat termasuklah para pengamal undang-undang, Tuan Haniff Khatri yang berpandangan respon Perdana Menteri itu sebagai tidak tepat dan memberi kefahaman yang salah. Beliau dalam temu ramah bersama Keluar Sekejap berkata, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong melantik hakim berdasarkan nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.
Presiden Berjasa, Ustaz Zamani Ibrahim kemudiannya mengatakan, ini secara jelas menggambarkan penglibatan dan peranan Perdana Menteri itu perlu dalam proses pelantikan Ketua Hakim Negara. Namun begitu, Perdana Menteri ternyata telah gagal berbuat demikian mengikut waktu yang wajar dan dalam tempoh yang munasabah sehingga ianya kini menjadi kemelut dalam sistem urus tadbir kehakiman negara.
“Kenapa Perdana Menteri tampak seperti melengah-lengahkan waktu sehingga akhirnya terpaksa mempertimbang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara sebelum ini? Beliau mempunyai masa yang banyak untuk menyelesaikan kekosongan posisi penting ini, tetapi beliau gagal. Adakah beliau sedang cuba mengatur siapa Ketua Hakim Negara yang boleh berperanan mengikut kepentingannya?” soal Presiden Berjasa.
Perdana Menteri yang kini berhadapan dengan kes mahkamah berkaitan kes serangan seksual melibatkan Yusoff Rawther juga sepertinya menguatkan lagi persepsi orang ramai tentang ‘langkahnya’ bagi mengekalkan kedudukannya melalui pengaruh atau kuasa yang ada dalam urusan pelantikan Ketua Hakim Negara.
Presiden Berjasa, Ustaz Zamani Ibrahim menyeru Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman yang sepatutnya menasihati Perdana Menteri tampil menyelesaikan segera isu pelantikan Ketua Hakim Negara mengikut peruntukan perlembagaan sedia ada dan tatacara pelantikan yang betul kerana jika tidak, ini akan menyebabkan persepsi institusi kehakiman di negara kita tidak bebas dan sebenarnya sedang dikawal oleh kerajaan.