Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) telah memperkenalkan pengeluaran KWSP secara bulanan dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembayaran pencen secara bulanan.
Hal ini bermakna penyimpan dan pencarum KWSP tidak lagi boleh mengeluarkan wang mereka mengikut kadar amaun ataupun jumlah yang pesara mahukan ketika mencapai usia 55 tahun ke atas.
Langkah ini dibuat di mana sumbangan KWSP akan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu simpanan persaraan dan pencen bulanan.
Dalam kata lain, pencarum akan berpeluang mengeluarkan sebahagian simpanan semasa pencen dan pada masa yang sama juga menerima pembayaran pencen bulanan untuk memastikan aliran pendapatan berterusan selepas bersara.
Walaubagaimanapun, wujud dalam kalangan ahli politik daripada blok kerajaan yang tidak bersetuju dengan cadangan ini yang mana mereka berpendapat pembayaran pencen bulan tidak boleh dilakukan secara mandatori.
Hal ini kerana setiap pencarum mempunyai situasi ataupun keadaan kewangan yang berbeza maka sewajarnya cadangan ini diperhalusi terlebih dahulu.
Sebaiknya pelan ini dijalankan secara berperingkat dahulu dan membenarkan pilihan agar pencarum dapat memilih antara cara pengeluaran secara “lump sum” atau pencen bulanan berdasarkan kesesuaian masing-masing.
Pengeluaran KWSP Secara Bulanan Perlu Dikaji Dahulu Oleh Kerajaan
Banyak sebab mengapa langkah pengeluaran KWSP secara bulanan untuk pesara dikaji dengan teliti terlebih dahulu.
Jika berdasarkan pada data yang dikeluarkan oleh KWSP, masih ramai pencarum mempunyai simpanan KWSP yang begitu rendah.
Data yang terdapat pada September 2023 menunjukkan kira-kira 6.3 juta pencarum bawah 55 tahun mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.
Jika diserap sebagai bulanan, jumlah simpanan ini hanya akan memberikan pendapatan sekitar RM42 sebulan selama 20 tahun sahaja, angka yang begitu rendah untuk menampung kos sara hidup.
Amat merisaukan jika pelaksanaan ini dibuat secara mandatori dan tidak memberikan pilihan kepada mencarum untuk menguruskan wang sendiri.
Kerajaan sepatutnya sedia maklum mengenai data ini yang mana ia memberikan gambaran bahawa tidak semua rakyat Malaysia mempunyai wang persaraan yang mencukupi untuk bersara dengan selesa.
Malaysia Bakal Menjadi Negara Tua Menjelang 2030, Isu Persaraan Menjadi Tumpuan Utama
Malaysia kini sedang menuju fasa menjadi negara tua menjelang 2030 maka isu persaraan untuk rakyat Malaysia sememangnya menjadi topik yang hangat untuk dibincangkan oleh pembuat dasar mahupun kerajaan.
Mekanisme pencen yang berkesan dan lestari amat diperlukan bagi kesejahteraan warga emas kelak.
Golongan sebegini sangat memerlukan sokongan ekonomi yang baik apatah lagi mereka memerlukan wang untuk membiayai kos penjagaan kesihatan mereka.
Walaupun jangkaan harga ubat pada masa akan datang di Malaysia dilihat lebih telus dan terkawal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2025, namun kerajaan tetap bersedia jika wujud keadaan yang di luar jangka berlaku.
Dalam satu sudut pandang yang lain, kerisauan terhadap inflasi kos kesihatan di Malaysia dilihat amat merisaukan untuk rakyat Malaysia kerana Malaysia kini mengalamai inflasi kos kesihatan yang ketara pada 2025.
Kadar inflasi kos perubatan di Malaysia dilaporkan meningkat kepada sekitar 15% lebih tinggi berbanding purata global dan Asia Pasifik yang sekitar 10% hingga 11%.
Selain daripada pengenalan skim insurans asas untuk pembiayaan kos kesihatan di hospital, kerajaan juga wajar untuk melihat dengan lebih jauh tentang keberkesaan dasar skim pencen yang melaksanakan pengeluaran KWSP secara bulanan untuk pesara.