KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini memaklumkan bahawa Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) telah menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi Melayu dan Bumiputera sekurang-kurangnya 40 peratus di ibu negara. Pendekatan ini mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang menyatakan kebimbangan mengenai kedudukan dan kuasa orang Melayu jika ianya dilaksanakan.
Profesor Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor yang merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, jika perancangan tersebut berlaku tanpa penambahan bekalan rumah mampu milik yang signifikan, pasaran perumahan berpotensi menjadi kurang cair, harga melonjak dan golongan muda terpaksa mencari kediaman di pinggir bandar.
Ustaz Zamani Ibrahim, yang merupakan Presiden Berjasa memberi pandangan, komposisi bumiputera yang sepatutnya berpotensi menguasai bandar secara keseluruhan mungkin terpaksa beralih kepada pinggir bandar kerana ketidakmampuan memenuhi kehendak pasaran perumahan sedia ada yang kebanyakannya dijual pada harga pasaran tinggi. Ini juga menggambarkan kebarangkalian meningkatnya komposisi penduduk bukan Melayu yang akhirnya mengisi kekosongan dan seterusnya membolehkan kuasa ekonomi dimonopoli kumpulan tertentu.
“Pelan ini juga dilihat lebih menguntungkan sisi pemaju melebihi kehendak dan keperluan penduduk malah ia tidak membantu memberikan manfaat jangka masa panjang dan berbaloi kepada masa depan orang Melayu kita. Kita nampak proses gentrifikasi juga boleh berlaku kerana komuniti Melayu di bandar tidak mampu bertahan lama kerana tekanan ekonomi yang ada di sekeliling mereka”, tambahnya.
Presiden Berjasa juga mengimbau kembali catatan sejarah yang mana identiti Kuala Lumpur sebagai bandar orang Melayu dahulu juga sudah pun tercabar dengan adanya penempatan pelombong-pelombong Cina, pengusiran orang-orang Melayu yang akhirnya mengakibatkan demografi orang Melayu berubah dan kuasa politik semakin lama semakin dimiliki kaum bukan Melayu. Orang bukan Melayu lebih berpeluang mengaut keuntungan dalam industri ketika itu kerana mereka diberi tanah yang strategik berbanding orang Melayu yang diketepikan dalam perancangan bandar. Menurut beliau, peristiwa ini tidak boleh diulangi lagi pada masa kini.
“Saya merasakan penetapan kuota ini hatta hanya 40 peratus sekalipun perlu dikukuhkan dengan sokongan perancangan yang betul-betul membela nasib dan menjamin masa depan anak bangsa kita. Kita tidak mahu dominasi kaum bukan Melayu di Kuala Lumpur mencetuskan ethnocide yang mana menjadikan corak pembangunan kita sehingga hilang ruh dan budaya kemelayuan, lenyap identiti tradisional perkampungan Melayu bahkan penguasaan aset strategik seperti tanah semakin kurang dimiliki oleh orang Melayu”, tegasnya.