KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, Kementerian Kewangan memutuskan untuk tidak lagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HGVT) dalam satu jawapan bertulis parlimen. Keputusan ini disebabkan semakan cukai jualan dan perkhidmatan yang sudah pun diperluaskan kepada 5 hingga 10 peratus yang mengambil kira barangan mewah.
Dasar mengenai Cukai Barang Bernilai Tinggi yang pernah dijangka tarikh pelaksanaannya pada 1 Mei tahun lalu juga pernah dianggap lewat oleh beberapa pihak kerana seperti teragak-agak dalam menguatkuasakan cukai mewah untuk golongan kaya. Tindakan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan kebanyakannya dipersoalkan kerana gagal memberikan takrif jelas dan terperinci siapakah golongan T15 yang akan dikenakan cukai tambahan.
Saudara Meor Azim yang merupakan Ketua Pemuda Berjasa memberi respon dengan mengatakan nasib majoriti rakyat hari ini terlalu malang kerana terpaksa menerima impak buruk dari pelaksanaan dasar-dasar yang tidak berpihak kepada rakyat. Peluasan SST yang sebelum ini diperluas sehingga rakyat terpaksa menanggung beban meningkatnya harga barang asas harian. Beliau amat yakin bahawa rakyat yang paling terhimpit di sebalik pelaksanaan dasar-dasar tersebut.
“Keputusan itu sebenarnya sudah jelas memberi petanda bahawa kerajaan hari ini telah gagal menunjukkan political will untuk menegakkan cukai adil ke atas golongan mampu milik. Mereka lebih mendengar desakan elit dari suara majoriti rakyat. Peluasan SST dikenakan kepada semua yang mana majoritinya rendah pendapatan malah tertekan dengan kenaikan sara hidup terutamanya dalam barang-barang keperluan rumah”, katanya.
Beliau juga berpandangan pendirian kerajaan sebagai tidak konsisten dalam meneruskan cukai kepada barangan mewah, walaupun baru sahaja mengumumkannya pada Oktober yang lalu. Terdapat kemungkinan status keuntungan ekonomi domestik menjadi satu kebimbangan jika kerajaan meneruskan HGVT tersebut, namun kerajaan perlu mencari dan menawarkan jalan tengah yang mampu memberi keseimbangan kepada semua, terutamanya kepada rakyat yang majoritinya berpendapatan rendah.
“Rakyat kelas bawah terus diperluas beban cukai. Ini bukan reformasi, ini penindasan dua kelas. Kami menyeru rakyat, khususnya golongan marhaen dan rentan: bangkit menyatakan hak! Sokong dasar yang lebih adil, di mana golongan kaya menyumbang sewajarnya. Jangan biarkan dasar fiskal menindas yang lemah sementara menyelamatkan yang kaya. Kerajaan juga perlu bijak menyampaikan maklumat yang meyakinkan kepada rakyat, misalnya melalui penjelasan di mana penghasilan cukai tersebut akan digunakan. Komunikasi secara terus terang dan telus kepada rakyat akan mematikan segala kebimbangan mereka”, tegasnya.