Kuala Lumpur, 3 Jun 2025 – Pengumuman peletakan jawatan Menteri Ekonomi,
Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam , Nik Nazmi Nik Ahmad mengejutkan ramai pihak. Tindakan sebegini mencerminkan permainan politik kepartian yang mempengaruhi produktiviti pembangunan negara sekaligus memberi kemungkinan berlakunya ‘ripple effect’ yang lebih kuat untuk lebih ramai menarik sokongan terhadap PMX.
Hal ini kerana, yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan ialah bagaimana pembentukan kerajaan dan perlantikan perdana menteri dilakukan dalam Perkara 43(1), yang mana tetap ada ‘loophole’ dalam terma ‘pada hemat YDPA mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’.
Ir Lukman Al Hakim, Naib Presiden Parti Berjasa berkata, dalam Perkara 43(2) (b) pula disebutkan perlantikan menteri adalah kuasa YDPA atas nasihat PM. Ini bermaksud parti atau gabungan parti-parti politik langsung tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada mana-mana klausa yang menyebut menteri mesti mendapat sokongan majoriti dalam pemilihan parti atau gabungan/perikatan masing-masing.
“Sebenarnya sistem politik negara kita mengintegrasikan peranan parti politik dalam perlaksanaan perlembagaan, pada asalnya mungkin untuk niat yang baik
Namun hari ini ia menampakkan kesan buruknya iaitu pergolakan atau ketidak stabilan parti politik terutamanya parti politik pemerintah menyebabkan huru-hara terhadap landskap politik negara.”, tulis beliau di Facebook.
“Kita cuba mengambil anologi yang sama jika Anwar Ibrahim juga menghadapi situasi yang sama, adakah beliau perlu meletakkan jawatan sebagai PM. Ini menggambarkan perletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi dari kabinet telah membuka satu sisi gelap sistem serta struktur politik negara kita.”
Ir Lukman Al Hakim menambah, isu sebenar lebih kepada hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PM, bukan hilang kelayakan sebagai menteri. Beliau menekankan, PKR bukan parti terkuat dalam kerajaan dan PM pula bukan pemimpin paling kuat dalam kerajaan.