Sambutan perayaan Deepavali di Malaysia hanya berbaki dua minggu lagi yang akan dirayakan oleh semua penganut Hindu di Malaysia pada 31 Oktober ini namun sudah ada perkhabaran kurang enak iaitu harga rempah ratus dijangka meningkat sempena Deepavali nanti.
Peningkatan ini didapati sebanyak 250 peratus dan peningkatan ini agak membimbangkan berbanding tahun lepas.
Presiden Hindu Pulau Pinang (PHA), Datuk P Murugiah berkata antara rempah ratus ialah buah pelaga yang melonjak daripada RM40 sekilogram pada 2023 kepada RM140 sekilogram untuk tahun ini.
Beliau juga memaklumkan terdapat 7 daripada 19 barangan dan rempah ratus yang dikaji mencatatkan peningkatan sebanyak 100 peratus manakala selebihnya menunjukkan peningkatan 22 hingga 75 peratus.
Selain buah pelaga, harga biji jintan meningkat daripada RM13 kepada RM38 sekilogram, bawang putih naik daripada RM6 kepada RM14 sekilogram, lada hitam (RM18 kepada RM38 sekilogram) manakala harga tepung melonjak 50 peratus kepada RM7.50 sekilogram.
Perayaan Deepavali di Malaysia: Kerajaan Perlu Bertegas Kawal Harga Barang Naik
Kerajaan diminta untuk bertegas dalam isu kenaikan harga barang ini susulan wujudnya peningkatan harga barangan menjelang perayaan Deepavali ini.
Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini ada berkata Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHHMP) sempena Deepavali akan diumumkan tidak lama lagi.
SHMMP sudah pun dilaksanakan pada 2000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipecutan 2011 maka kerajaan sudah tiada lagi alasan untuk memandang ringan isu ini.
Isu kenaikan harga barangan ketika musim perayaan bukan sahaja baharu berlaku malahan sewaktu perayaan Aidilfitri juga pernah mengalami keadaan yang sama.
Sebelum ini menjelang Aidilfitri, harga ayam yang dijual di pasaran didapati mengalami kenaikan sehingga RM10 sekilogram.
Maka ini menunjukkan kes seumpana ini sudah banyak kali berlaku dan ia kelihatan sentiasa berulang tanpa ada penyelesaian yang kukuh.
Kerajaan wajar mempercepatkan tindakan untuk menggariskan beberapa barangan keperluan dikenal pasti sebagai barangan kawalan harga semasa musim perayaan dengan harga maksimum ditetapkan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit untuk tempoh tertentu sempena perayaan Deepavali ini.