Kejadian kemalangan bas yang membawa mahasiswa UPSI nyata meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia. Kemalangan maut yang berpunca daripada kenderaan berat ini sudah banyak kali berlaku saban tahun.
Sebelum ini kemalangan kenderaan berat banyak melibatkan lori sehingga ia dilihat seakan-akan menjadi satu trend yang tiada kesudahannya. Dalam bulan Jun ini, sudah muncul berita kemalangan jalan raya yang melibatkan lori.
Pada 3 Jun 2025 yang lalu dilaporkan pemandu dan penumpang lima kenderaan berdepan detik cemas apabila sebuah lori membawa muatan ikan merempuh barisan kenderaan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bidor.
Semua 16 mangsa yang terlibat termasuk empat kanak-kanak dilaporkan selamat namun empat daripadanya mengalami trauma dan pening sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Pada 23 Mei yang lalu pula, seorang pemandu lori sawit rentung terbakar akibat kemalangan kendiri di Jalan Kidurong, Bintulu, Sarawak.
Punca kepada kemalangan masih tidak dinyatakan sama ada ia berpunca daripada muatan kelapa sawit yang berlebihan ataupun faktor lain yang menyebabkan lori tersebut terbalik di atas jalan raya dan terbakar.
Di Melaka pula pada bulan yang sama seorang warden penjara berpangkat sarjan maut selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh sebuah lori simen di persimpangan lampu isyarat di Sungai Udang di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
Siasatan awal mendapati lori simen tersebut mengalami masalah brek yang sudah menjadi kebiasaan kepada alasan berlakunya kemalangan melibatkan lori.
Hingga kini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke masih dilihat belum menunjukkan tanda-tanda ingin menyelesaikan masalah ini dengan serius. Beliau hanya mengeluarkan kata-kata sahaja ingin membanteras isu ini sahaja namun masih belum ada tindakan serius yang diambil setakat ini.
Janji Tinggal Janji, Pasukan Petugas Khas Untuk Tangani Isu Kenderaan Berat Masih Belum Ada
Anthony Loke pada Januari yang lalu memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani isu keselamatan membabitkan kenderaan berat di Malaysia.
Pasukan itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan yang turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk merangka strategi efektif demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Namun hingga kini masih lagi tiada bayang-bayang pasukan petugas khas itu telah dibentuk di bawah Kementerian Pengangkutan.
Pasukan petugas khas yang ingin bentuk ini juga tidak menampakkan kewujudannya lagi apabila berlaku kemalangan bas yang membawa mahasiswa UPSI ini.
Hingga kini, Anthony Loke hanya memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah pun mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715).
Tidak dapat dipastikan sama ada APAD dan JPJ ini termasuk di dalam pasukan petugas khas yang dijanjikan oleh beliau untuk menyelesaikan isu kemalangan kenderaan berat.
Rakyat sudah muak dengan tindakan siasatan namun tiada langkah konkrit yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini.
Sampai bila kerajaan mahu perjudikan nyawa rakyat yang tidak bersalah di atas jalan raya ini?
Sebelum ini kerajaan hanya berdiam diri mengenai kartel penyewaan tayar lori dan kini kerajaan seakan tidak serius ingin mengatasi masalah kemalangan jalan raya.