Krisis ‘Brain Drain’ Makin Kritikal, 1.86 Juta Bakat Tempatan Malaysia Berhijrah Ke Luar Negara

brain drain

Isu ‘brain drain‘ di Malaysia dilihat semakin kritikal apabila seramai 1.86 juta bakat tempatan Malaysia termasuk yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dilapor berhijrah ke negara luar di seluruh dunia untuk mencari peluang kerja yang lebih baik.

Laporan ini telah disahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang mengatakan data ini berdasarkan laporan World Migration Report 2022 oleh International Organization for Migration (IOM).

Tambah beliau lagi, populasi diaspora Malaysia di empat negara utama dianggarkan seramai 281,429 orang berdasarkan data daripada TalentCorp dan Bank Dunia melalui kajian bertajuk ‘Leveraging on Malaysia Diaspora: Malaysian Diaspora Heat Maps” yang disiapkan pada April 2022.

Empat negara tersebut ialah Australia (138,363 orang), Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang).

Rata-rata mereka ini berkelulusan dalam bidang sektor perkhidmatan profesional, pengurusan, perniagaan, sains, seni, perubatan dan hospitaliti serta perkhidmatan teknikal.

Semua bidang ini merupakan bidang kritikal yang amat diperlukan oleh Malaysia dan menjadi satu kerugian untuk negara ‘melepaskan’ mereka menyumbang perkhidmatan di negara luar.

Apa Itu Brain Drain?

Brain drain” ataupun dalam bahasa Melayunya dipanggil sebagai penghijrahan bakat merupakan fenomena di mana golongan profesional, berkemahiran tinggi dan berpendidikan tinggi berhijrah dari negara asal mereka ke negara lain yang menawarkan peluang ekonomi dan kehidupan yang lebih baik.

Fenomena ini sering berlaku di negara-negara membangun kerana peluang pekerjaan yang begitu terhad untuk ditawarkan kepada rakyatnya.

Di negara yang kurang pembangunan ekonominya, peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan profesional mungkin terbatas dan ini menyebabkan golongan mahir beralih ke negara yang menawarkan pekerjaan lebih banyak serta menarik.

Selain itu, penawaran gaji dan faedah lebih tinggi juga menjadi penarik untuk golongan ini berhijrah kerana negara-negara maju menawarkan gaji dan insentif yang lebih tinggi selain manfaat seperti cuti, keselamatan pekerjaan dan pencen.

Bukan itu sahaja malahan negara yang mempunyai masalah politik seperti korupsi, ketidakstabilan atau krisis ekonomi cenderung mengalami “brain drain” yang lebih tinggi kerana golongan profesional lebih tertarik kepada negara yang stabil dan makmur.

Namun begitu, sebab utama golongan profesional Malaysia berhijrah ke luar negara disebabkan oleh tarikan pendapatan tinggi yang ditawarkan oleh majikan di negara maju.

Negara Rugi Berbilion Ringgit & Memerlukan Penyelesaian Segera

Negara telah menanggung kerugian berjumlah berbilion ringgit kesan daripada isu “brain drain” dan kerajaan sepatutnya sudah mempunyai solusi untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.

Steven Sim dalam kenyataannya menegaskan Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik bakat tempatan yang berada di luar negara untuk kembali ke Malaysia terutamanya melalui platform MyHeart.

Returning Expert Programme (REP) merupakan salah satu program utama di mana ia telah menerima 11,124 permohonan dan berjaya membawa pulang seramai 2,011 bakat ke tanah air sejak tahun 2011 hingga Jun 2024.

Mungkin penyelesaian yang boleh diperkasakan oleh kerajaan selepas ini adalah dengan bertindak berani untuk menceburi bidang kritikal seperti pemprosesan unsur nadir bumi (REE), penciptaan cip dan sektor tenaga nuklear.

Malaysia mempunyai bakat-bakat yang hebat dalam bidang kritikal ini dan tidak mustahil Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi dan maju jika berjaya memanfaatkan golongan profesional ini secara sepenuhnya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
pilihan raya presiden as

Pilihan Raya Presiden AS: Apa Kesan Kepada Malaysia Setelah Trump Menang?

Next Post
industri nadir bumi

Sekian Lama Didominasi China Dan Australia, Kini Malaysia Bakal Memacu Industri Nadir Bumi

Related Posts