Keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes kematian Teoh Beng Hock sebagai NFA (no further action) nyata mengejutkan banyak pihak, termasuk NGO-NGO pro-reformasi yang dahulunya bersama DAP memperjuangkan keadilan buat Teoh.
Namun yang lebih mengecewakan, adalah reaksi dingin daripada menteri-menteri DAP sendiri, yang dahulu menjadikan kes ini sebagai simbol perjuangan menentang penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan institusi. Kini, apabila mereka berada dalam kerajaan, tiada desakan, tiada ketegasan, dan tiada pendirian jelas. 5 Menteri terbabit adalah Anthony Loke, Gobind Singh Deo, Nga Kor Ming, Sim Chee Keong, dan Hannah Yeoh.
Bagaimana pemimpin DAP yang dahulu lantang menjerit di pentas-pentas ceramah, mengangkat gambar Teoh Beng Hock sebagai ikon reformasi, hari ini membisu apabila AGC di bawah kerajaan sendiri menghentikan siasatan kes ini?
Jika dahulu, pembangkang mendesak SPRM, mendesak kerajaan BN, dan mengutuk ketidakadilan sistem, apa yang berubah sekarang? Adakah keadilan itu hanya perlu ditegakkan bila mereka di luar kuasa ,tetapi boleh dikompromi apabila sudah duduk di kerusi menteri?
Keadilan tidak boleh dipilih-pilih. Jika benar prinsip yang diperjuangkan dahulu ikhlas, menteri-menteri DAP yang pernah bersumpah mahu perjuangkan kes Teoh seharusnya berundur secara terhormat, kerana mereka telah gagal menunaikan amanah itu.
Rakyat tidak lupa dan keluarga Teoh Beng Hock layak mendapat lebih daripada sekadar senyap.