Kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang menerbitkan kandungan sinis ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditolak permohonannya untuk mendapatkan hak penahanan di rumah jelas menunjukkan bahawa kerjasama UMNO dengan DAP yang terjalin ini mungkin tidak berkekalan lama.
Kerjasama yang dijalinkan antara dua parti ini seakan satu perpaduan yang dipaksakan kerana kedua-duanya tidak berkongsi kepentingan yang sama.
Mereka membentuk pakatan bersama hanya atas dasar kepentingan yang sama sahaja iaitu ingin mendirikan sebuah kerajaan perpaduan sahaja dan penggerak utamanya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada PKR dan Datuk Seri Zahid Hamidi daripada UMNO.
Kedua-dua figura ini sudah pun berkawan lama ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam parti UMNO lagi maka tidak mengejutkan jika rancangan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) diajukan oleh mereka beruda di peringkat awal.
Kerjasama UMNO Dengan DAP Hanya Menanti Retak
Persoalannya mula timbul sama ada pembentukan kerajaan perpaduan antara PH dengan BN ini dipersetujui oleh komponen parti di dalam PH seperti DAP.
DAP dikenali sebagai parti yang begitu lantang mempersoalkan kes 1MDB yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
Tidak mengejutkan jika kita membaca penulisan Yeo Bee Yin di Facebook miliknya dengan tulisan “Another reason to celebrate this year” ketika Mahkamah Tinggi mengeluarkan keputusan menolak pemrohonan semakan Datuk Seri Najib Razak untuk memaksa kerajaan dan enam lain melaksanakan Titah Adendum.
Cumanya konteks penulisan Yeo Bee Yin yang ditulis di ruangan publik dianggap tidak wajar memandangkan mereka masih sekapal di dalam kerajaan bersama UMNO.
Walaubagaimanapun, hal ini menampakkan dengan jelas bahawa DAP konsisten dengan prinsip mereka untuk menghukum Datuk Seri Najib Razak yang merupakan pemimpin kesayangan UMNO.
Reaksi Zahid Hamidi dan Akmal Salleh Wakili UMNO
Sejurus Yeo Bee Yin mengeluarkan penulisan begitu di Facebook, Datuk Seri Zahid Hamidi yang merupakan Presiden UMNO pantas menaikkan kandungan di Facebook miliknya dengan ayat “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak”.
Ketua Pemuda UMNO Akmal Salleh pula mengeluarkan kenyataan yang serupa iaitu mencadangkan agar UMNO terus memutuskan hubungan dengan DAP.
Beliau berpendapat DAP sudah melampau dan biadab dan sudah masanya kerjasama ini disemak semula.
Rakyat terutamanya pengundi atas pagar ingin melihat sama ada UMNO betul-betul berani ingin memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP atau sebaliknya.
PRU-16 sudah pun dekat jangkaan tarikhnya maka keputusan besar ini amat menarik perhatian rakyat untuk dilihat.