Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim mengkritik pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa pembentukan kerajaan antara UMNO dan DAP bukannya sebagai penggabungan tetapi hanya kerjasama sahaja maka tiada apa yang perlu dirisaukan.
Kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan itu seakan memperlihatkan kerjasama dengan DAP itu hanya sebagai perkara yang kecil sahaja dan tidak mendatangkan apa-apa kesan pun kepada pengundi Melayu.
Zamani Ibrahim di dalam kenyataannya melihat kerjasama antara UMNO dengan DAP sebenarnya mendatangkan impak yang besar kepada pengundi Melayu kerana UMNO sudah pun menunjukkan mereka mengkhianati kepercayaan pengundi Melayu yang mengundi UMNO sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022.
“Sebelum PRU-15, UMNO begitu lantang membawa naratif penyatuan orang Melayu dan mengangkat kuasa politik orang Melayu di hadapan orang Melayu. Kemudian selepas PRU-15 mereka dengan mudah membuka jalan kepada DAP untuk membentuk kerajaan yang sedia ada ini”.
“Jika UMNO sudah jelas mereka akan membentuk kerajaan dengan parti DAP, maka tiada keperluan lagi untuk pengundi Melayu mahupun penyokong UMNO untuk mengundi mereka pada PRU-15”, tegas beliau.
UMNO Perlu Tinggalkan DAP, Satukan Orang Melayu
Agenda Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia dan pengundi Melayu wajar menolak ideologi itu yang bakal mengancam hak istimewa Bumiputera.
Tambah beliau lagi, kerjasama UMNO dan DAP ini dikhuatiri bakal menormalisasikan penerimaan orang Melayu terhadap DAP.
Melihat kepada situasi ini, beliau menyeru agar pengundi UMNO mahupun golongan di belakang tabir UMNO untuk menggesa parti mereka agar keluar daripada kerjasama bersama DAP kerana ia hanya membawa mudarat yang besar.
Mereka sepatutnya sedar bahawa kuasa politik orang Melayu tidak mampu dikuatkan lagi jika bersama DAP yang jelas konsisten menentang ideologi mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera.
Jika UMNO masih lagi dengan egonya untuk terus bersama DAP di dalam kerajaan, jangan hairan jika kuasa politik orang Melayu terus melemah akibat perpecahan dan UMNO akan kehilangan sokongan daripada orang Melayu sendiri.