BERJASA menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah agar pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dilaksanakan secara teliti dan berhemah dengan mengutamakan kepentingan orang Melayu.
BERJASA juga sudah mendengar penjelasan daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Haji Johari Abdul Ghani yang menjelaskan bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru tetap perlu diteruskan dengan segera bagi memastikan pendudukan kawasan kampung tersebut mendapat rumah yang selayaknya.
Namun demikian dalam masa yang sama BERJASA menyeru kerajaan agar menyelesaikan isu pengambilan tanah ini dengan berhemah tanpa meminggirkan kepentingan penduduk yang tidak bersetuju untuk rumah mereka dirobohkan oleh pemaju.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif menegaskan bahawa sejarah Kampung Bharu yang menjadi kawasan penempatan orang Melayu sejak 1899 untuk pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan diwartakan sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS) pada 1900 perlu dilindungi oleh kerajaan.
Beliau menegaskan sebaiknya pembangunan semula kawasan kampung tersebut perlu memberikan manfaat yang kekal kepada orang Melayu.
Hal ini penting bagi memastikan maruah dan sejarah kependudukan orang Melayu di kawasan tersebut tidak hilang walaupun berubah zaman yang mementingkan kemodenan.
Kerajaan Wajar Bela Kebajikan Penduduk Kampung Sungai Baru Yang Enggan Berpindah
Dalam proses pemindahan ini juga, wujud sebahagian penduduk yang tidak mahu berpindah kerana mempertahankan rumah dan tanah milik mereka yang telah sekian lama mereka duduki.
Hujah mereka untuk tetap tinggal di kawasan tersebut ada kewajarannya memandangkan kawasan ini khas diberikan oleh Sultan Selangor kepada orang Melayu dan pemilikan penempatan di kawasan ini diturunkan secara turun-temurun oleh keluarga mereka.
Beliau menegaskan bahawa pengabaian terhadap kebajikan kumpulan yang tidak mahu berpindah ini adalah satu kesalahan yang besar oleh kerajaan.
“Tanah ini bukannya tanah luar tetapi ia tanah orang Melayu. Pemaju perlu jelaskan kepada penduduk adakah rumah yang dibangunkan ini nanti boleh dimiliki dengan harga yang murah kepada penduduk asal ataua tidak”.
“Kerajaan melalui Datuk Seri Johari dan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mengeluarkan kenyataan bahawa pembangunan rumah yang baru nanti akan tetap diberikan kepada orang Melayu tetapi tiada pun kenyataan daripada pihak pemaju”.
“Sebaiknya pemaju yang menguruskan projek ini perlu tampil ke hadapan menyahut jaminan daripada kerajaan untuk pastikan rumah yang dibangunkan oleh mereka ini memang akan dimiliki oleh penduduk asal yang majoritinya Melayu nanti”, tegas beliau.
Walaupun tanah ini tidak digazetkan tanah di kawasan tersebut sebagai tanah rizab Melayu namun pemaju dan semua pihak harus sedar bahawa tanah di kawasan itu kekal sebagai anugerah Sultan Selangor kepada orang Melayu.
Jangan Ada Layanan Berbeza Dalam Soal Pemilikan Tanah
Selain itu, beliau yang mewakili BERJASA menempelak kerajaan yang dilihat memberikan layanan berbeza kepada orang Melayu dalam soal pemilikan tanah.
Merujuk kepada isu kuil haram, kerajaan dilihat begitu berlembut dalam memberikan layanan kepada pihak kuil berbeza pula dengan isu Kampung Sungai Baru yang terpaksa menggunakan kekerasan.
Layanan yang berbeza ini perlu dihentikan kerana ia menampakkan kerajaan seolah bersikap berat sebelah dalam menguruskan isu ini.
Beliau amat mengharapkan warisan orang Melayu tidak pudar di Kuala Lumpur walaupun bandaraya itu semakin pesat dalam mengejar pembangunan.