DAP Anti-Islam Walau Sumbang Kepada Masjid?

Rembau – Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa beliau telah menyumbangkan sebanyak RM72,000 kepada masjid-masjid di sekitar Teluk Intan. Beliau turut menegaskan bahawa sumbangan tersebut membuktikan bahawa DAP bukan sebuah parti yang anti-Islam.

Mengulas kenyataan itu, Presiden Parti BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim, berpendapat bahawa kenyataan Nga Kor Ming menunjukkan kefahaman beliau terhadap Islam masih lemah. Menurut beliau, mungkin Nga Kor Ming menyamakan Islam dengan agama lain seperti Kristian, Buddha atau Hindu yang bersifat lebih peribadi.

Ustaz Zamani menegaskan bahawa Islam adalah satu sistem kehidupan, bukan sekadar agama individu.

“Apa maksud Islam sebagai sistem kehidupan? Maksudnya, Islam menuntut untuk berkuasa. Islam menuntut untuk bernegara, jadi ia tidak berhenti setakat di masjid sahaja.”

Menurutnya lagi, walaupun DAP memberikan sumbangan lebih besar daripada itu, sekiranya DAP menghalang Islam untuk berkuasa dan bernegara, maka parti tersebut tetap boleh dianggap anti-Islam.

“Perkara ini bukan terletak pada nilai RM72 ribu atau RM72 bilion, tetapi sejauh mana DAP membenarkan Islam itu berkuasa dan bernegara. Sejauh mana DAP bekerjasama untuk memastikan Islam di negara ini berkuasa sepenuhnya. Ini kerana Islam adalah agama Persekutuan, yang bermaksud bukan hanya individu itu beragama Islam, bahkan negara juga perlu menjadi sebuah negara Islam.”

“Ini yang perlu difahami, bukan sekadar melihat angka RM72 ribu itu, tetapi sejauh mana DAP akur dan bertungkus-lumus untuk menjayakan Islam agar berkuasa dan bernegara. Barulah DAP dianggap tidak anti-Islam.”

Ustaz Zamani turut melontarkan persoalan:

“Apakah DAP bersetuju atau akan menyokong sepenuhnya usaha untuk memastikan Islam di negara ini benar-benar berkuasa dan Islam itu bernegara? Dan adakah DAP bersetuju bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara Islam?”

Beliau turut menjelaskan maksud Islam berkuasa menurut neraca Islam:

“Islam berkuasa bermaksud, dengan kuasa itu, Islam dapat melaksanakan, meletakkan, menyusun, dan mentadbir negara ini mengikut kehendak Islam, tanpa sebarang keraguan daripada mana-mana pihak. Islam bebas, memiliki kuasa yang tinggi, dan mampu mentadbir negara ini berdasarkan lunas Kehendak Islam.”

“Apa pula maksud Islam itu bernegara? Ia bermakna semua pihak tunduk dan patuh kepada kehendak sebuah negara Islam. Apa sahaja perancangan, apa sahaja idea dari mana-mana parti mestilah mengarah kepada menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.”

“Jadi, sekiranya DAP tidak bersetuju dengan kuasa Islam di negara ini, dan tidak menyokong pelaksanaan Islam sebagai asas pemerintahan negara, maka DAP tetap anti-Islam walaupun menyumbang RM72 bilion.”

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa jika benar DAP mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam, maka terdapat dua permintaan yang ingin beliau kemukakan:

“Pertama, DAP menerima sepenuhnya tanpa ragu bahawa Malaysia ini sebuah negara Islam dan menyokong usaha untuk merealisasikannya.”

“Kedua, DAP mesti menggugurkan agenda ‘Malaysian Malaysia’ kerana sebuah negara Islam tidak memerlukan agenda tersebut. Sebaliknya, ia perlu kepada kehendak yang termaktub dalam Perlembagaan, bahawa Islam meraikan semua bangsa dan agama berdasarkan neraca syarak Islam itu sendiri, bukan berdasarkan neraca DAP atau Malaysian Malaysia.”

“Ini permintaan saya. Jika perkara ini berlaku, barulah rakyat di luar sana boleh menerima bahawa DAP bukan anti-Islam,” tegas beliau.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pencerobohan Tanah Raub: Rotan vs Ribuan Ekar Musang King

Next Post

Nakbah: Ini Perjuangan Kita Semua

Related Posts