BERJASA kecam serangan AS, Israel ke atas Iran; dakwa langgar undang-undang antarabangsa

BERJASA mengecam keras tindakan ketenteraan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, yang menurutnya telah mengorbankan orang awam termasuk puluhan pelajar perempuan dalam serangan ke atas sebuah sekolah di selatan negara itu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hamdan Sharif yang merupakan Ketua Penerangan BERJASA menyifatkan tindakan tersebut sebagai agresif dan tidak bertanggungjawab serta melanggar norma undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, serangan itu bukan sekadar operasi ketenteraan biasa, sebaliknya merupakan pencabulan terang-terangan terhadap prinsip kedaulatan negara dan perlindungan orang awam.

Dakwa langgar Piagam PBB, Konvensyen Geneva

BERJASA mendakwa tindakan berkenaan melanggar Perkara 2(4) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara tanpa mandat sah Majlis Keselamatan atau justifikasi mempertahankan diri yang ketat.

Selain itu, kenyataan tersebut turut merujuk kepada pelanggaran Konvensyen Geneva 1949 dan Protokol Tambahan I yang mewajibkan perlindungan terhadap orang awam serta melarang serangan ke atas sasaran bukan ketenteraan termasuk sekolah dan kanak-kanak. Kedua-dua negara ini tetap perlu mengikut undang-undang adat antarabangsa walaupun tidak meratifikasinya.

BERJASA juga membangkitkan prinsip “distinction” dan “proportionality” dalam Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa yang mewajibkan pembezaan antara sasaran ketenteraan dan orang awam.

“Kanak-kanak dan institusi pendidikan dilindungi secara khusus di bawah undang-undang antarabangsa. Sebarang alasan keselamatan atau pertahanan tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menghalalkan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah,” menurut kenyataan itu.

Tuntut henti serangan, siasatan bebas

Sehubungan itu, BERJASA menuntut agar Israel dan Amerika Syarikat menghentikan serta-merta semua tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Mereka turut menuntut penjelasan rasmi dan pertanggungjawaban penuh atas kematian orang awam, khususnya kanak-kanak, selain mendesak siasatan antarabangsa yang bebas, telus dan berkecuali bagi menentukan liabiliti serta kemungkinan pelanggaran jenayah perang.

Menurut kenyataan itu lagi, dunia tidak boleh berdiam diri apabila kuasa besar bertindak di luar kerangka undang-undang antarabangsa.

“Tindakan agresif seperti ini hanya akan memperluaskan konflik dan menggugat kestabilan serantau serta antarabangsa,” katanya.

Sehingga kini, tiada kenyataan balas segera daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat atau Israel berhubung dakwaan tersebut.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu pijak al-Quran: BERJASA kritik pendekatan menteri agama

Next Post

BERJASA sifatkan kegagalan lulus had tempoh PM sebagai ‘Kelemahan Kepimpinan Dan Reformasi’

Related Posts