Industri teknologi AI di Malaysia semakin mendapat perhatian dengan begitu banyaknya kemasukan pelaburan daripada luar untuk melabur di dalam industri AI ini.
Terbaharu syarikat perisian gergasi daripada Amerika Syarikat (AS) Oracle telah membuat pelaburan sebanyak AS$6.5 bilion (RM27 bilion) di Malaysia.
Sebelum ini juga syarikat-syarikat seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google juga membuat pelaburan dalam industri teknologi AI di Malaysia maka anggaran pelaburan keseluruhan dalam industri ini adalah sebanyak AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion).
Pelaburan besar ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan destinasi yang sesuai untuk inovasi teknologi di Asia Tenggara.
Bukan itu sahaja malahan ia juga dapat merancakkan lagi ekonomi digital di Malaysia seterusnya membantu rakyat untuk menambahkan pendapatan melalui teknologi seperti e-dagang.
Apa Itu Teknologi AI?
Teknologi AI atau nama penuhnya teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) adalah bidang teknologi yang mengembangkan sistem atau mesin dan boleh menjalankan tugas-tugas yang biasanya memerlukan kecerdasan manusia.
AI melibatkan pembangunan algoritma dan model yang boleh belajar daripada data, memahami bahasa manusia, mengenali corak, membuat keputusan dan melaksanakan pelbagai fungsi lain.
Selain itu, AI juga adalah simulasi kecerdasan manusia dalam mesin yang diprogramkan untuk “berfikir” dan “belajar” seperti manusia.
Mesin ini boleh menjalankan pelbagai tugas seperti mengenali suara, memahami bahasa, menganalisis imej, membuat keputusan dan banyak lagi.
Hal ini boleh dikatakan AI yang wujud kini adalah satu teknologi yang boleh menggantikan manusia terutamanya di dalam bidang teknologi dan IT.
Penggunaan AI Merangkumi Pelbagai Sektor Di Malaysia
Penggunaan AI di Malaysia semakin berkembang pesat dan ia telah pun meliputi pelbagai sektor seperti kesihatan, kewangan, pertanian dan sektor awam.
AI telah mula digunakan dalam sektor kesihatan di Malaysia bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti rawatan dan memudahkan proses diagnostik.
Penggunaan chatbot perubatan yang dikuasakan oleh AI membolehkan pesakit mendapatkan maklumat kesihatan dan nasihat perubatan secara atas talian tanpa perlu bertemu dengan doktor secara fizikal seterusnya memudahkan pesakit di kawasan terpencil mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan asas.
Sistem AI juga telah digunakan di dalam sektor kewangan melalui penggunaan pengesan penipuan (fraud detection) untuk memantau dan mengesan transaksi kewangan yang mencurigakan dalam masa nyata.
Dengan analisis data besar, sistem AI boleh mengenal pasti corak transaksi yang mungkin berkaitan dengan penipuan dan memberi amaran awal kepada institusi kewangan.
Firma pengurusan aset turut menggunakan AI untuk membantu dalam membuat keputusan pelaburan yang lebih tepat dengan menganalisis data pasaran dalam skala besar.
Hal ini dapat dilihat melalui StashAway yang menggunakan AI untuk mencadangkan strategi pelaburan kepada pengguna berdasarkan profil risiko mereka.
Selain itu, AI digunakan untuk memantau keadaan tanaman, kelembapan tanah dan keadaan cuaca secara masa nyata.
Dengan adanya data ini, petani boleh membuat keputusan yang lebih baik mengenai masa penyiraman, pemupukan dan penuaian.
Sebagai contohnya, Aerodyne Group sebuah syarikat teknologi Malaysia menggunakan dron AI untuk mengumpul data dan memantau ladang secara efektif.
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam mengadopsi teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat.
Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan Chatbot MAiA oleh MAMPU (Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit) menyediakan maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Penggunaan AI di Malaysia sedang berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor.
Dengan sokongan kerajaan melalui dasar dan inisiatif yang proaktif, Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi pemain utama dalam ekosistem AI serantau.