Pekerja ekonomi gig dilihat menjadi pilihan yang tertinggi untuk golongan beliau mahupun golongan yang berada di usia senja untuk mencari pendapatan sampingan.
Pekerjaan dalam ekonomi gig semakin menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dengan jumlah pekerja mencapai kira-kira 2.2 juta orang setakat tahun 2023 menurut statistik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Dalam laporan yang sama juga, hampir 80% pekerja gig berumur 25 tahun ke atas dengan sebahagian besar dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun.
Namun begitu, statistik lain juga menunjukkan majoriti pekerja gig juga berumur lebih daripada 25 tahun iaitu sekitar 39% mereka di Malaysia.
Kerjaya sebagai pekerja ekonomi gig dilihat mula mendapat tempat sebagai kerjaya tetap dengan 19% pekerja gig menyatakan mahu menjadikan pekerjaan ini sebagai kerjaya jangka panjang dengan melihat kelebihannya dari sudut pengurusan masa yang fleksibel.
Pekerja Ekonomi Gig Bukan Dalam Industri E-Hailing Sahaja
Pekerja ekonomi gig merujuk kepada individu yang bekerja secara bebas atau sementara, melakukan tugas atau projek tertentu dengan tempoh masa yang singkat dan bayaran mengikut kerja yang diselesaikan.
Mereka tidak mempunyai majikan tradisional tetapi berinteraksi dengan pelanggan melalui platform digital atau aplikasi sebagai penghubung seperti GrabFood, Food Panda dan platform freelance lain.
Pekerjaan dalam ekonomi gig tidak hanya terhad kepada sektor e-hailing sahaja kerana ia juga merangkumi pelbagai jenis kerja termasuk penghantaran barang dan makanan, penulisan bebas (freelance writing), reka bentuk grafik dan web, penyuntingan video dan audio, pemasaran digital dan perundingan profesional.
Hal ini boleh dikatakan bahawa kerja gig ini memberi fleksibiliti tinggi kepada pekerja untuk memilih waktu, tempat dan jenis tugasan, menjadikannya pilihan yang menarik bagi mereka yang mahukan pendapatan tambahan atau model kerja yang tidak terikat dengan waktu pejabat tradisional
Namun sudah menjadi kebiasaan ekonomi gig memang sering dikaitkan dengan pekerjaan e-hailing ataupun penghantar makanan kerana dipopularkan dengan jenama besar seperti Grab, Food Panda dan Shopee Food.
Kadar Kes Kemalangan Membabitkan Mereka Membimbangkan
Pekerja ekonomi gig terutamanya pekerjaan penghantar makanan dan pemandu e-hailing amat terdedah kepada risiko bahaya jalan raya.
Kadar kes kemalangan yang melibatkan pekerja ekonomi gig di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dengan dapat lihat tahun 2022 sebanyak 1,872 kes kemalangan dilaporkan melalui skim bekerja sendiri PERKSEO (Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri – SKSPS) berbanding hanya 773 kes pada tahun 2021.
Peningkatan ini adalah sebanyak 158.9% dan ini merangkumi pelbagai jenis kemalangan daripada kecederaan kecil sehingga kemalangan maut.
Selain itu, terdapat juga peningkatan sebanyak 56% dalam kes kematian dari 25 kes pada 2021 kepada 39% kes pada 2022 khususnya dalam sektor pengangkutan barangan, makanan dan pengangkutan penumpang.
Tahun 2023 dan 2024 tidak mempunyai data yang lengkap kerana masih belum ada pecahan data khusus pekerja gig secara terperinci namun secara keseluruhan jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) ialah sebanyak 6,951 kes bagi tahun 2023 (hingga Oktober)
Walaupun tiada pecahan khusus sama ada statitik kemalangan ini ,melibatkan jenis pekerjaan namun ini memberi isyarat yang jelas terhadap risiko peningkatan jumlah kes kemalangan untuk sektor gig.
Rang Undang-Undang Pekerja Ekonomi Gig Beri Sinar Kepada Mereka
Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Ekonomi Gig dijangka dibentangkan di Parlimen seawal bulan Ogos atau September 2025 depan seperti yang disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menyatakan RUU ini merupakan akta pertama bertujuan menjaga industri ekonomi gig di Malaysia serta yang pertama di dunia.
Sebelum ini Menteri Sumber Manusia Steven Sim pernah menyatakan bahawa RUU tersbeut dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet dan kemudian dibentangkan dalam sidang Parlimen pada suku kedua hingga pertengahan 2025 dengan tarikh awal dijangka pada Mac namun tertunda ke Ogos atau September.
Ramai pekerja gig mengarapkan agar RUU ini mampu memberikan mereka kelebihan dari sudut perlindungan kebajikan secara lebih menyeluruh dan hak yang jelas kepada mereka.
Selama ini mereka merasa terpinggir dalam sistem perundangan sedia ada maka mereka menuntut pengiktirafan rasmi sebagai pekerja gig melalui definisi yang khusus dalam undang-undang.
Selain itu, mereka mahukan mekanisme penyelesaian pertikaian yang adil dan berkesan antara pekerja dan penyedia platform untuk mengelakkan penindasan dan eksploitasi.
Hal ini berkaitan dengan ketidakpuashatian mereka dalam menghadapi kesulitan mendapatkan pendapatan yang stabil dan munasabah akibat persaingan sengit di antara penyedia platform serta potongan bayaran yang tidak jelas dan adil.
Mereka mendakwa kadar upah yang diperoleh makin rendah dan tidak berbaloi dengan jam kerja yang diberikan oleh mereka.
Isu ini bukan sahaja melibatkan soal upah malahan ia turut melibatkan isu ketiadaan manfaat sosial seperti cuti sakit dan jaminan keselamatan pekerja yang biasa diperoleh dalam pekerjaan formal.
Amat diharapkan kerajaan mampu membawa perkhabaran yang baik untuk pekerja ekonomi gig bagi memastikan mereka mendapat hak dan perlindungan yang setimpal dengan serta memperbaiki keadaan pendapatan mereka supaya lebih mampan dan adil.